Dzulkhairi’s Weblog

July 25, 2007

Jerut Anak: Gambaran institusi kekeluargaan yang kian parah?

Filed under: Respon Isu — dzulkhairi @ 4:35 pm

Kes menjerut dua orang anak sendiri amat menggemparkan. Difahamkan bahawa tindakan tersebut berlaku berikutan tidak dapat menerima hasrat si suami yang ingin berkahwin lagi. Tanpa menafikan kemungkinan terdapat kesalahan yang dilakukan suami, perilaku menjadikan anak sebagai mangsa sama sekali tidak dapat diterima. Apatah lagi hingga tahap membunuh.

Kita pernah mendengar anak sering terkena tempias kemarahan ibu bapa. Kes seperti didera, dipukul, dicucuh rokok, kesan seterika, ditendang dan sebagainya menjadi amalan negatif di kalangan ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi dan kemarahan. Pergaduhan di antara suami dan isteri, ibu dan bapa, jika tidak dikawal selia dengan baik dengan melibatkan juga orang ketiga sebagai perantara, memungkinkan terjadinya impak negatif yang lebih berlarutan.

Ibu bapa selaku ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan, keharmonian, budaya keilmuan dan kerohanian keluarga secara ‘live’. Di samping peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah secara formal, tanggungjawab terhadap anak-anak lebih ditekankan atas ibu bapa di rumah. Ibu bapa yang ideal akan meningkatan peratusan anak-anak untuk menuruti jejak langkah mereka sebagai ‘role model’. Jika sebaliknya, maka hasil yang dilihat sudah pasti sebaliknya.

Anak dalam institusi kekeluargaan umpama kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapa mereka masing-masing. Jika corakan itu serabut maka begitu jugalah anak-anak yang akan terhasil. Anak-anak ini jugalah yang bakal menerajui negara kelak. Bapa borek, anak rintik, begitulah pepatah melayu yang menggambarkan kebiasaan anak yang akan mengikuti perangai ketua keluarga.

Dalam hal ini, pernah dua ahli psikologi Perancis, Itard dan Sanguin meneliti anak-anak asuhan serigala. Mereka menemui dua orang bayi manusia yang dipelihara oleh sekelompok serigala yang memperlihatkan perilaku serigala juga seperti suara, bergerak secara merangkak, minum secara menjilat dan sebagainya. Tindakan tersebut tidak seperti yang dilakukan manusia secara sepatutnya. Begitulah pengaruh pengasuh dan penjaga.

Bagi mencapai tahap kesempurnaan alam rumah tangga, ibu bapa juga sewajarnya mendapatkan pakar kaunseling kekeluargaan. Situasi persekitaran yang pelbagai ragam mampu mengakibatkan ketidakseimbangan emosi, minda, rohani dan fizikal. Ketidakseimbangan ini boleh mendatangkan perilaku-perilaku yang tidak sepatutnya seperti penceraian, pergaduhan, menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak-anak dan sebagainya. Justeru, penyelesaian melalui khidmat kaunseling perlu berkala.

Namun, kesukaran mendapat khidmat ini juga kadang-kadang dapat difahami. Walaupun begitu, komitmen mencapai institusi keluarga yang bahagia tetap diteruskan. Lantaran itulah, dalam Islam, ditekankan keperibadian calon pasangan yang sesuai. Kita diseru untuk memilih pasangan yang baik keturunan, stabil pendapatan, baik rupanya dan yang paling penting hebat agamanya. Pasangan yang ideal ialah pasangan yang terbaik nilai kerohanian dan tindakannya.

Pembinaan institusi keluarga yang baik bermula dari pemilihan pasangan lagi. Kesilapan mencari pasangan yang sesuai akan menyebabkan pelbagai masalah susulan kelak. Kita dapat melihat remaja kini bersikap acuh tidak acuh terhadap kualiti pasangan mereka. Nampak sahaja yang cantik, terus pilih tanpa mengambil kira soal kualiti nilai. Lebih buruk lagi, remaja tidak segan silu bergaul bebas walaupun baru sahaja kenal. Ini jugalah antara punca berlaku kes rogol dan zina.

Setelah berkahwin, mereka masih lagi ada tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai syarat untuk membina keluarga bahagia. Bermula ketika hamil lagi, ibu perlu berkelakuan yang sepatutnya sehinggalah melahirkan anak. Setelah lahir, anak perlu diiqamatkan dan diazankan, mulut dibelah, rambut dicukur, diberi nama dan dikhatankan. Begitulah antara amalan yang perlu dilakukan.
Setelah itu, dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu peka dengan peringkat-peringkat pendidikan yang seharusnya. Sebagai contoh, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Hadid ayat 20, manusia akan berada dalam 5 peringkat seperti la’ibun (kanak-kanak), lahwun (peralihan kanak-kanak ke remaja), zinatun (remaja), tafakhur (dewasa) dan takathur (alam perkahwinan). Setiap peringkat ada kriteria-kriteria tersendiri yang perlu difahami untuk memberi pendidikan yang sesuai.

Mereka yang inginkan keluarga bahagia, perlulah membuat persediaan untuk membina keluarga masing-masing. Mendirikan rumah tangga bukanlah perkara main-main, tetapi memerlukan komitmen ampuh dalam menunaikan tanggungjawab kekeluargaan. Keretakan rumah tangga dan kehancuran institusi kekeluargaan adalah berpunca dari tonggak keluarga itu sendiri di samping faktor-faktor sampingan yang memerlukan jatidiri utuh suami dan isteri. Mudah-mudahan kejadian penderaan, pembunuhan anak-anak dan pergaduhan ibu bapa tidak kedengaran lagi walaupun ia kedengaran agak sukar.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: