Dzulkhairi’s Weblog

July 25, 2007

Selamat Hari Ibu

Filed under: Fikrah Penulis — dzulkhairi @ 4:40 pm

Keberadaan ibu dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat tidak dapat dinafikan lagi keistimewaan mereka. Ibu dianggap salah satu daripada unit masyarakat yang begitu bernilai. Darjat, pangkat, kedudukan dan penilaian yang eksklusif telah tersedia untuk mereka. Segala penetapan ini sudah pasti antara lain merujuk kepada pengorbanan mereka dalam hidup.

Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat ke 15 yang bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula).

Al-Tha’alabi dalam tafsirnya, al-Jawahir al-Hisan Fi Tafsir al-Quran menjelaskan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib dan berdosa besar sekiranya menderhakai mereka. Mereka bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita sebagai anak mereka. Segala pengorbanan mereka memang tiada tandingan lagi.

Firman Allah dalam surah al-Isra’, ayat ke 23, bermaksud: maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor dalam bukunya yang bertajuk Imam Malik: Sejarah Dan Pemikiran, menyentuh pendapat Imam Malik bin Anas yang menggunakan kaedah mafhum al-muwafaqah dalam memahami kata ‘ah’ di atas dengan memberi erti segala perkataan dan perbuatan yang dapat menyakiti hati, perasaan dan fizikal ibu bapa, bahkan termasuk yang lebih teruk daripada itu lagi.

Kita bertanggungjawab berbakti kepada mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr. Mohd Muhiden bin Abd. Rahman, salah seorang pakar hadis Universiti Malaya menerangkan bahawa taat dan berbuat baik kepada ibu bapa juga dianggap berjihad di jalan Allah. Beliau juga menambah perang jihad yang tidak diisytiharkan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat, maka anak-anak perlu memohon kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa mereka.
Dalam hadis yang sama, riwayat Ahmad dan Abu Daud, ditambah: Pulanglah meminta izin daripada mereka, jika diizinkan maka boleh, jika tidak maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.
Penjelasan ini sahaja telah jelas bahawa kedudukan mereka khususnya ibu amat tinggi dan menjadi kewajipan kepada kita untuk berbakti kepada mereka. Cuba bayangkan kepentingan mereka hampir sama taraf dengan berperang dan berkoban nyawa di medan pertempuran dalam menegakkan kalimah kebenaran.
Sebagai tambahan, bagi membezakan kedudukan ibu dan bapa, hadis riwayat Bukhari menjelaskan: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah yang lebih berhak untuk dibuat baik? Jawab Nabi SAW: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Jawab: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Ibumu. Berkata: Kemudian siapa pula? Sabda: Kemudiannya bapamu.
Darjat ibu memang istimewa sehinggakan dikatakan bahawa syurga terletak di bawah terlapak kaki ibu. Jika mereka tidak meredai kita, maka jangan harap Allah akan meredai kita tatkala kita menyakiti hati mereka. Sabda SAW bermaksud: Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa. (Riwayat Tirmidzi, dan disohihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.)
Tanggal 13 Mei, dianggap Hari Ibu. Namun, tidak patut jika hanya menjadikan hari ini sahaja sebagai hari mengingati pengorbanan ibu. Tidak wajar menjadikan tarikh ini sahaja barulah kita mendapat reda mereka. Adakah hari itu sahaja kita diredai Allah sedangkan hari lain kita akan dimurkai Allah apabila dikaitkan dengan hadis di atas?
Kempen untuk memberi kesedaran agar menyayangi, mengasihi, menghormati dan berbakti kepada mereka memang dialu-alukan. Ibu memang tiada sesiapa pun yang layak mengganti mereka. Mereka begitu istimewa. Malangnya ramai anak yang menderhaka. Semoga mereka mendapat anak yang soleh yang akan mendokan mereka kelak. Siapa lagi jika bukan kita orangnya. Marilah sama-sama menjadi anak yang berguna kepada mereka.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: