Dzulkhairi’s Weblog

September 6, 2007

Konsistensi Kemaraan Gerakan Islam

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 9:00 am

Kebangkitan Islam kini tidak dapat dinafikan lagi. Perkembangan ini bermula sejak tersebarnya risalah kenabian ke seluruh pelosok dunia. Dari Madinah yang menjadi tapak rasmi negara Islam pertama, kemudiannya tersebar ke Mekah dan ke kawasan persekitaran. Setelah itu, sejarah penyebaran risalah Islam ini disambung oleh para sahabat baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah mendidik para sahabat selama 23 tahun (13 tahun di Mekah, 10 tahun di Madinah). Sepanjang tempoh tersebut, masa tidak berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, masa tersebut dipenuhi dengan segala perancangan penyebaran agama Islam dan aktiviti yang padat. Segala jerih payah dilakukan dengan sabar dan tawakal kepada Allah. Mereka rela mengorbankan harta benda dengan hati yang tulus tidak berkira. Mereka juga sanggup memberi nyawa demi keunggulan Islam.

Empat khalifah terawal setelah kewafatan Nabi SAW digelar Khulafa al-Rasyidin yang terdiri daripada sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman dan Sayidina Ali. Mereka memainkan peranan yang begitu berharga kepada penyebaran agama Islam. Bayangkan jika mereka tidak menunaikan tugas ini, maka bolehkah kita mengecap nikmat Iman dan Islam seperti sekarang ini? Umat Islam perlu yakin dengan keupayaan agama ini. Tanpa mengira sesukar mana pun, cahaya suci agama ini akan terpancar juga ke seluruh alam ini. Namun, kebangkitan agama suci ini tidak dibayar secara percuma. Ia tidak terjadi sendiri tanpa usaha dan peranan yang dimainkan oleh penganutnya sendiri. Sebenarnya, inilah tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh pendokong agama ini. Jika peranan ini diabaikan, maka layakkah mereka diberi status khaira ummah? Sudah pasti jawapannya tidak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad di dalam Musnad, Rasulullah SAW bersabda: Akan tiba urusan ini (iaitu Islam) ke tempat yang didatangi malam dan siang, Allah tidak akan meninggalkan walau satu rumah pun sama ada di kampung mahupun pedalaman melainkan Allah akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan orang yang mulia dan dengan kehinaan orang yang hina, kemuliaan orang yang dimuliakan Islam dengannya oleh Allah dan kehinaan orang yang dihinakan kekufuran dengannya oleh Allah. Ini merupakan berita gembira bagi umat Islam untuk lebih berusaha dengan membulatkan tekad meninggikan syariat dan agama Allah serta memastikan risalah ini tiba ke seluruh alam dunia ini.

Agama Islam akan memasuki semua desa, bandar, negeri, negara, benua, dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Taubah, ayat 33: Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.
Sejarah telah memperlihatkan bagaimana Islam telah mengatasi Yahudi, Nasrani, penyembah berhala Arab, Majusi dan Farsi, sebahagian agama di Asia dan Afrika pada kurun pertama Hijrah.

Berita gembira ini telah dikuatkan lagi dengan sebuah hadis Rasulullah SAW iaitu yang diriwayatkan oleh al-Miqdad bin al-Aswad r.a., katanya: Aku telah mendengar dari Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan tertinggal walau sebuah rumah pun di atas permukaan bumi sama ada di kampung atau pedalaman melainkan Allah akan memasukkan kalimah Islam di dalamnya sama ada dengan kemuliaan orang mulia atau kehinaan orang yang hina.(Riwayat Ahmad, Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Seorang pemuda berusia 23 tahun telah menggemparkan masyarakat Konstantinopel (kini Istanbul) yang juga dikenali sebagai Kota Hercules, kerana berjaya dengan cemerlang membuka kota tersebut dengan akidah Islam dan syariat suci risalah Islam. Beliau adalah Muhammad bin Murad, lebih dikenali dengan Muhammad al-Fateh. Kota tersebut dibuka pada hari Selasa, 20 Jamadil Awal 857Hijrah (29 Mei 1453 Masihi). Menurut hadis Rasulullah SAW, Rasulullah SAW telah ditanya: Antara dua kota, yang mana satukah yang akan dibuka terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom? Sabda Rasulullah SAW: Bandar Hirqal (Hercules iaitu konstantinopel) yang akan dibuka terlebih dahulu.(Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad). Ini menunjukkan kebenaran kata-kata Rasulullah SAW. Mungkin dapat dikategorikan sebagai tanda-tanda kebenaran risalah kenabian yang telah menjadi agenda utama penyebaran ke seluruh alam dunia ini. Fakta ini juga merupakan bukti kebangkitan dan perkembangan agama Islam ketika itu. Setiap zaman akan memperlihatkan elemen-elemen perkembangan agama Islam. Ia tidak akan wujud jika tanpa usaha dan komitmen tinggi penganut agama Tauhid ini.

Ketika pengintip Maharaja Rom yang ditugaskan untuk menyiasat kedudukan tentera Islam yang telah berjaya menakluki Rom Timur, dilaporkan bahawa orang yang berjaya menakluki Rom adalah terdiri daripada mereka yang pada malamnya bagai hamba abdi pada tuhan mereka, manakala pada siangnya umpama singa di rimba yang bekerja keras, cergas dan perkasa. Di samping itu, umat Islam juga bersifat adil walau pembesar sendiri melakukan kesalahan, tetapi tetap akan dihukum. Seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Perancis mengatakan bahawa bahaya yang paling dahsyat bukanlah komunis yang mana ketika itu mengancam barat, tetapi agama Islam. Justifikasi yang digunakan ialah komunis hanya dapat menakluki bumi-bumi mereka dengan kekerasan dan kekuatan senjata, sebaliknya Islam bukan sahaja dapat menakluki bumi mereka bahkan menakluki hati-hati masyarakat Perancis dan menakluki tamadun Barat hinggalah jatuh tamadun jahiliah Barat.

Ini adalah sebahagian daripada situasi yang berlaku sebagai akibat daripada perkembangan agama Islam hasil usaha hati-hati tulus pembela agama Allah. Tempias seperti ini juga turut dirasai Lord Crommer, gabenor Inggeris di Mesir dan Sudan sehingga terpaksa menukar kaedah penjajahan. Beliau mengatakan bahawa cara baru mengekalkan pengaruh dan kepentingan Inggeris di bumi Islam ialah dengan memberi kemerdekaan kepada mereka yang terdiri daripada anak-anak murid Inggeris, yang menerima ideologi, pandangan, undang-undang dan dasar mereka. Tercatat kekal dalam sejarah pembela agama Islam seperti Abdul Qadir al-Jazairi menentang Perancis di Algeria, Abdul Karim al-Khattabi menghadapi Sepanyol di Maghrib, Umara al-Mukhtar menentang Itali di Libya, Syeikh Izzuddin al-Qassam dengan Inggeris dan Yahudi di Palestin dan ramai lagi. Tidak lupa juga pejuang kebenaran Islam di Tanah Melayu ketika dului sama ada dari golongan Kaum Tua ataupun Kaum Muda. Mereka tidak berasa jemu membuat perancangan sistematik menghadapi penjajah tanah air.

Berdasarkan fenomena penentangan dan semangat utuh umat Islam seperti ini jugalah, seorang pengkaji sejarah Barat, Bernard Lewis di dalam bukunya Barat dan Timur Tengah, menegaskan bahawa gerakan-gerakan keagamaanlah yang menerajui semua gerakan pembebasan di semua negara Islam menentang penjajahan. Beliau juga mengakui bahawa hasil jihad golongan ini telah dicuri oleh golongan pencuri di bawah pengaruh sekular. Tetapi, kebangkitan umat Islam berada di mana-mana. Islam adalah agama paling pantas berkembang di dunia, terutamanya di Barat, di sebalik kempen mencemarkan imej agama suci itu dan Nabi Muhammad SAW, kata seorang pemimpin Islam terkenal Kanada yang dipetik akhbar Arab News. Pengarah Pusat Islam Toronto, Ibrahim Malabari, berkata terdapat peningkatan dramatik untuk mencari kebenaran mengenai Islam selepas insiden 11 September sekali gus menggalakkan ramai rakyat Amerika Syarikat memeluk Islam.

Malabari juga memuji usaha berdakwah yang dilakukan saudara baru seperti bekas Duta Jerman ke Algeria dan Maghribi, Murah Hofmann dan wartawan Britain, Yvonne Ridley, yang pernah ditahan Taliban pada tahun 2001 dan membawanya menjadi penganut Islam. Hofmann meramalkan bahawa kebangkitan semula Islam akan bermula di Barat dengan penduduk Islam Amerika memainkan peranan kepimpinan penting dalam menonjolkan zaman pembaharuan Islam baru. Begitu juga dapat dilihat kebangkitan umat Islam di China. Namun kekuatan jumlah umat Islam di sana didiamkan.

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah manyatakan bahawa kurun ke-19 ialah kurun Kapitalis, kurun ke-20 ialah kurun Komunis dan kurun ke-21 ialah kurun bagi Islam. Moga-moga kenyataan ini memberi kesan psikologi kepada umat Islam untuk mempertingkatkan kesarjanaan umat Islam dalam pelbagai bidang, menjana minda kelas pertama berteraskan konsep tauhid, membudayakan kehidupan berilmu dan beramal, meneroka segala hikmah tersembunyi yang memang menjadi milik umat Islam tidak kira di mana berada dan menyebarkan risalah sebagai memenuhi kenyataan rahmatan lil ‘alamin. Semoga kebangkitan ini berterusan sepersis tidak basah akibat hujan dan tidak lekang akibat panas.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: