Dzulkhairi’s Weblog

December 4, 2007

BERHENTILAH Memperalat Mahasiswa!!!

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 1:54 pm
Pilihan Raya Umum ke-12 dijangka akan berlangsung pada Disember tahun ini. Namun, teka-teki akan terus tergantung selagi mana Parlimen belum dibubarkan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri belum mengumumkan tarikh sebenar pilihan raya. Yang pasti, jentera pilihan raya kedua-dua belah pihak sudah tentu sedang bergerak sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan. Menjadi tanda tanya di sini; adakah pilihan raya kali ini akan turut menyaksikan mahasiswa diperalatkan seperti mana pilihan raya sebelumnya?

Mewakili suara seluruh mahasiswa, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menuntut agar pilihan raya kali ini tidak terus menjadikan mahasiswa sebagai ‘alat’ politik parti-parti tertentu. Sebagai contoh, mahasiswa diperalatkan dengan memberi wang sogokan untuk mengundi atau dijadikan sebagai alat berkempen bagi sesebuah parti. Di manakah kebebasan yang sepatutnya dimiliki oleh mahasiswa dalam menjalankan pilihan raya secara telus dan adil? Mahasiswa sepatutnya diberi kebebasan untuk berpegang dengan pendirian tersendiri dan bukan hanya semata-mata menurut telunjuk sesebuah parti. Dalam hal ini, mahasiswa juga harus tegas dengan prinsip diri. Jangan biarkan kita dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang akan menjahanamkan masa depan negara.

Dalam pada itu, isu wang sogokan yang diberi kepada rakyat sempena pilihan raya telah berupaya menyemai benih-benih rasuah ke dalam diri, tetapi dalam masa yang sama, kerajaan tetap berusaha membanteras amalan korupsi ini. Usaha tersebut ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Apa tidaknya, dalam keadaan biasa, pihak berkuasa akan menangkap sesiapa yang disyaki terlibat dengan rasuah, namun hal yang sebaliknya berlaku dalam suasana pilihan raya. Amalan rasuah semasa pilihan raya adalah amat ketara, namun tiada sebarang usaha penangkapan dibuat. Jika diperhatikan, Akta Mencegah Rasuah 1961 (disemak 1971) menyatakan bahawa rasuah antara lainnya termasuklah wang, derma, hadiah, apa-apa bayaran dan apa-apa jenis balasan berharga. Hal ini termasuklah apa-apa pemberian seperti wang, hadiah dan barangan yang bernilai yang diberikan semasa pilihan raya untuk tujuan meraih undi.

Hari demi hari kian menyaksikan terlalu ramai orang yang ditangkap kerana disyaki rasuah. Hal demikian menunjukkan bahawa kerajaan telah lama dipimpin oleh orang-orang yang korup. Ini menunjukkan bahawa belum ada komitmen optimum untuk membanteras rasuah, atau menurut istilah Klitgaard et. al, pembanterasan rasuah setengah hati (halfheartedly). Namun begitu, GAMIS tetap menyokong usaha kerajaan dalam membanteras segala amalan yang berbentuk korupsi, kerana jika rasuah tidak dibendung, ia akan merosakkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap para pemegang kekuasaan. GAMIS turut menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menangkap pemimpin-pemimpin parti yang disyaki terlibat dengan rasuah. Jika BPR mempunyai bukti bahawa pemimpin-pemimpin parti, sama ada PAS ataupun UMNO yang terlibat dengan amalan ‘makan suap’ ini, maka keadilan perlu ditegakkan. Terbaru, kita mendengar berita tentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengaku pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit sepanjang mentadbir Kelantan sejak 17 tahun lalu dan akan diambil keterangannya oleh BPR. GAMIS amat bersetuju dengan tindakan BPR tersebut dan menggesa agar BPR turut menyiasat para pimpinan PAS dan pimpinan UMNO yang lain.

Untuk akhirnya, GAMIS menyeru semua mahasiswa agar turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 kali ini. Jangan hanya menjadi ulat buku semata-mata dan tidak peduli dengan sebarang peristiwa yang berlaku di luar, kerana mahasiswa seharusnya mengambil peranan untuk mengembalikan keadilan dan kemakmuran di dalam negara. Di samping itu, kami menyeru pihak pentadbiran seluruh institut pengajian tinggi agar memberi kesedaran mengundi kepada mahasiswa, bukan sekadar memomokkan mereka dengan pelajaran, kerana dengan demikian, mahasiswa akan menjadi ‘mandom’ dan tidak dapat memberi apa-apa sumbangan kepada negara. Seterusnya, kami berharap agar Pilihan Raya Umum ke-12 pada kali ini akan berjalan dengan telus dan adil tanpa sebarang kecacatan yang boleh mencemarkan integriti dan kredibiliti kerajaan.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: