Dzulkhairi’s Weblog

January 10, 2008

Terujanya Apabila Orang Muda Beribadat…

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 10:18 am
Pemuda yang menghabiskan masanya dalam beribadat kepada Allah SWT dijanjikan Rasulullah SAW sebagai salah satu golongan yang akan dilindungi oleh Allah pada hari kebangkitan kelak. Ketika itu seluruh manusia berada dalam keadaan membimbangkan dan membingungkan setelah dibangkitkan kembali oleh Allah. Ada kalangan mereka berada dalam ketakutan lantaran memikirkan dosa-dosa yang dilakukan di dunia selama ini, apatah lagi mereka telah melalui sedikit sebanyak tempiasan azab di alam barzakh.

Allah memuliakan tujuh golongan yang berkhidmat dengan baik selaku hamba-Nya dan menjadikan dunia sebagai tempat bercucuk tanam bukannya keseronokan semata-mata. Golongan kedua yang mendapat kedudukan yang terpuji itu adalah orang muda yang menghabiskan masanya untuk beribadat kepada Allah. Golongan yang beribadat kepada Allah bukanlah satu golongan yang jumud dan rigid serta menjauhi dunia sebaliknya mereka adalah golongan yang memenuhi ruang kehidupan di dunia untuk diraih kesenangan hakiki di akhirat.

Ibadat terbahagi kepada dua iaitu ibadat umum dan khusus. Ibadat khusus secara ma’ruf merangkumi solat, puasa, zakat, dan lain-lain. Manakala apa-apa sahaja perbuatan baik yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan mengikut landasan sunnah akan dikira ibadat dan mendapat ganjarannya di sisi Allah. Sebenarnya seluruh anggota badan manusia itu boleh beribadat. Tangan beribadat kepada Allah dengan mengeluarkan sedekah dan zakat. Lisan beribadat dengan memuji dan memuja Allah selain mengungkapkan kalimah-kalimah yang baik dan menjauhi perkataan-perkataan yang lagho. Mata beribadat dengan menundukan pandangan daripada melihat elemen-elemen yang merosakkan hati. Kaki beribadat dengan melangkahkan kaki ke tempat-tempat ibadat, ataupun jika ia melangkah ke tempat-tempat maksiat sekalipun, ia bertujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut.

Persoalannya, kenapa mesti golongan muda? Kenapa tidak dimasukkan golongan tua dalam hadis tersebut? Kita menjawab persoalan ini berdasarkan realiti yang wujud. Golongan tua secara umumnya memang sudah cenderung untuk beribadat. Apatah lagi petanda-petanda ajal menjemput sudah timbul pada tubuh badan mereka, dengan uban-uban yang memutih di kepala, badan yang mula lemah, kedut-kedut yang kian tergaris di dahi, dan lain-lain. Lalu, menjadi tabiat manusia untuk kembali kepada Allah apabila kegerunan terhadap kematian itu wujud.

Orang muda pula biasanya cenderung kepada keduniaan dengan berhibur dan sebagainya. Mereka beranggapan bahawa muda hanya sekali dan sepatutnya ia dihamburkan sepenuhnya dengan keseronokan sebelum tua menjemput. Mereka tidak menyedari bahawa kematian bukan hanya untuk orang tua malah terdapat ramai orang muda yang dijemput terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, amat jarang orang muda menghabiskan masa dengan beribadat. Mereka lebih suka mengabiskan masa untuk memenuhi jiwa muda mereka sebelum tiba waktu senja. Kekhusyukan beribadat tidak timbul dengan baik dalam jiwa orang muda meskipun mereka kadang-kadang mengalami pengalaman hidup yang menakutkan seperti melihat kematian rakan-rakan mereka secara mengejut. Namun hal ini tidak menafikan bahawa wujud juga orang yang sudah berumur tetapi tidak menyedari hakikat umur mereka yang semakin mengurang. Kata Imam Al-Ghazali, perkara yang paling dekat dengan manusia adalah kematian manakala perkara yang paling jauh adalah masa lalu.

Beribadat mesti dengan hati, yang dimulai dengan niat. Niat seseorang boleh menjadi lebih mulia berbanding perbuatan, malah dengan niat sesuatu amalan menjadi mulia. Niat yang baik akan diganjari dengan pahala di sisi Allah. Ada amalan yang kecil, tetapi membesar dengan niat. Ada amalan yang tampak buruk pada pandangan zahir tetapi menjadi mulia kerana niat. Pernyataan ini tidak bermaksud niat itu menghalalkan cara. Contoh yang baik untuk dikemukakan ialah seperti menipu yang diharuskan dalam tiga kondisi seperti dalam medan peperangan dan menyatukan antara dua orang yang bertelingkah, termasuklah menipu untuk menyelamatkan ulama yang sedang diburu.

Menipu mungkin nampak buruk tetapi baik dalam beberapa kondisi yang disebut. Kemudian, antara ibadat yang dinilai mulia di sisi Allah ialah dakwah. Amal Islami ini, memberi manfaat kepada manusia dalam usaha memurnikan Islam itu sendiri. Allah SWT ada berfirman: Dan siapa lagi yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada jalan Allah dan melakukan kebaikan seraya berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan yang mempasrahkan diri kepada Allah.

Para nabi diutus daripada kaumnya kerana inilah satu proses memudahkan komunikasi. Jadi, orang muda adalah orang yang terbaik untuk berdakwah kepada orang muda juga. Mereka memahami jiwa orang muda dan ini pastinya akan memudahkan urusan dakwah itu sendiri. Tidak perlu kita fahami dakwah dalam konsep ceramah dan kuliah, kerana dakwah ini satu konsep yang luas dan perlu disesuaikan dengan keadaan dan kondisi semasa. Apa pun dakwah yang paling asas perlu diaplikasikan oleh kita ialah dengan mempamerkan akhlak mulia sebagai satu daya memikat dan besi magnet yang menarik.

Suasana beribadat mesti diwujudkan. Iklan-iklan termasuklah dalam kaca televisyen sekalipun mestilah menekankan soal ini. Kemungkinan satu kempen memurnikan soal ini boleh diadakan dan dibuat mengikut kesesuaian semasa. Satu hal yang sangat menarik jika suasana beribadat dapat diserikan seperti mana pada zaman Umar Abdul Aziz, apabila umat Islam ketika itu tenggelam dalam keasyikan beribadat dan memperkatakan soal ibadat dalam setiap rinci kehidupan mereka.

Lalu ketika itu, semakin berkurangan orang yang mempunyai perasaan riya’ kerana semua orang berada dalam lingkungan beribadat, sebaliknya perasaan yang wujud ketika itu adalah perasaan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Harap-harap, begitulah adanya…

2 Comments »

  1. Salam…
    erm, ada cara x nak bangun tahajud?

    mmg payah nk buat..
    sekali buat boleh la. tp lps tu da xbuat dah..
    camner ek?

    Comment by zala — January 23, 2008 @ 8:20 am

  2. memang tringin nak menjadikan tahajud sebahagian drp hidup..dan tringin utk menghafal ayat2 suci al-quran..tapi trenyata tak semudah yg di sangka..terlalu banyak halangan yg terpaksa ditempuh..

    Comment by Redhasha — February 19, 2008 @ 4:17 am


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: