Dzulkhairi’s Weblog

January 16, 2008

NAHI YANG BERTUAH: Apabila Bayt Muslim bertemu Bayt al-Quran.

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 5:57 pm
Kawan baik saya, Nahi telah pun berkahwin. Zaini nama isterinya, juga menghafal al-Quran sebagaimana Nahi. Saya terfikir, alangkah untungnya sahabat baik saya ini, cita-citanya untuk bertemankan seorang hafizah akhirnya tercapai. Fazrin juga sudah berkahwin. Walaupun tidak mendapat hafizah sebagaimana Nahi, namun saya cukup yakin isterinya pasti seorang yang cukup solehah. Ya, solehah tidak semestinya dengan menghafal al-Quran.

Apabila Masa Dulu Melawat Sebentar.

Dulu, kami sering bergurau senda. Kami sering mengimpikan seorang hafizah untuk menjadi suri hidup kami, dengan tujuan untuk meneruskan kelangsungan al-Quran yang kami hafal di dada. Barangkali, dengan itu kami dapat menyediakan jadual untuk sama-sama muraja’ah. Jika kami silap, ada orang yang akan betulkan, dan begitulah sebaliknya.

Pastinya, kami juga inginkan anak yang turut menghafal al-Quran. Lalu, kami akan membentuk Bayt al-Quran yang penuh dengan limbahan cahaya Rabbani. Suasana ketika itu pastinya hangat dengan selera meningkatkan kefahaman dalam dada kami, sehingga kami mampu memancarkan sinar al-Quran itu untuk disimbahkan ke muka bumi Allah ini.

Nahi akhirnya berjaya menggamit cita-cita tersebut. Malah ia membuktikan Bayt al-Quran yang dibina olehnya berteraskan perjuangan. Ia pulang seketika ke Malaysia untuk berkahwin dengan hafizah setelah menamatkan pengajian di Syoubra dalam bahagian Qiraat, kemudian meneruskan perjuangan yang lebih sempit dan sukar di Tonto dalam bidang al-Quran, di samping melibatkan diri dalam gerak kerja Amal Islami. Katanya pada saya: Doakan perkahwinan ana memudahkan gerak kerja dakwah ana.

Saya sering menyebut nama beliau di hadapan sahabat-sahabat saya yang lain. Bagi saya, Nahi ialah seorang sahabat yang cukup bertuah kerana ia diberi perasaan yang cukup bernafsu terhadap ilmu pengetahuan. Bibirnya acap basah dengan bacaan al-Quran di samping kesedarannya yang cukup tinggi untuk membumikan al-Quran di tanah air ini.

Teringat saya, dulu pernah juga kita gila-gila membaca al-Quran. Pernah satu ketika, saya menghabiskan 20 juzu’ al-Quran seharian. Semasa di Kusza selama lapan minggu, saya berjaya mengkhatamkan sebanyak tujuh kali al-Quran. Mashaf itu tidak pernah lekang daripada tangan ini walau ke mana-mana dan dibaca sentiasa sehingga orang lain jatuh hairan.

Namun itu dulu. Dulu adalah dulu, dan kini adalah kini. Saya tidak lagi melihat dalam ruang lingkup yang sempit. Bagi saya, mendapat seorang hafizah memang satu perkara yang menyeronokkan, apatah lagi saya mempunyai ramai adik di Darul Quran yang boleh membantu saya bila-bila masa sahaja, malah naqib saya sendiri pernah menawarkan seorang hafizah yang kini sedang menuntut di Mesir, namun bukan itu keperluan hakiki. Saya lebih memilih orang yang membumikan al-Quran dalam dirinya sebagai teman dan pasangan hidup meskipun ia bukan seorang hafizah.

Lupakan tentang saya, ia tidak penting. Naqib saya, ustaz Syahir juga telah berkahwin, dan kalau tidak silap saya anaknya sudah mencecah sifir 5 tolak 3, begitu juga dengan ustaz Nurul Hisyam, juga telah berkahwin. Mereka berkahwin, bukan sekadar untuk menjaga Iman mereka, malah mereka berkahwin kerana mereka meletakkan perjuangan di hadapan. Ia sangat berbeza dengan sesetengah orang yang lambat berkahwin kerana ingin berjuang kerana mereka berkahwin untuk tegar berjuang.

Saya mungkin sedikit berbeza dengan orang lain. Telusnya saya amat menyenangi dengan akhawat yang memulakan perkenalan. Ini melambangkan keberanian akhawat itu untuk berdamping dengan lelaki pilihannya. Saya sendiri bertemu dengan beberapa kes, akhawat memulakan perkenalan dan dengan berani mereka meluahkan perasaan, betapa mereka ingin menjadi pendorong kepada seorang pejuang dan pendakwah. Saya memang mengagumi akhawat seberani ini.

Ingin Isteri Dimadukan…

Mustafa Masyhur menyatakan kepada gadis pilihannya: Aku ingin mengawinimu tetapi haruslah engkau maklum bahawa aku telah berkahwin. Perempuan itu tersentak lalu bertanya siapakah isterinya. Mustafa Masyhur bingkas menjawab: Bakal madumu adalah perjuangan. Alangkah indahnya kata-kata yang terpacul keluar itu. Ia merupakan lambang kesucian jihad yang diterjemah keluar oleh mujahid Ikhwan ini. Begitu kisah Zainab al-Ghazali yang tidak mengharapkan apa-apa harta kekayaan daripada suaminya asalkan suaminya tidak menghalang kerja dakwah yang dilakukannya selama ini.

Saya pernah bertemu dengan isteri Fazrin sahabat baik saya. Perlu dikenali Fazrin adalah seorang yang berpegang teguh dengan pegangan Salaf, dan saya sealiran dengan beliau dari sudut pegangan, cuma lebih suka untuk saya menambah sebagaimana kata al-Qaradawi: Kami salaf, dan kami berijtihad pada zaman kami sebagaimana Salaf berijtihad pada zaman mereka. Ketika itu kami sama-sama melangkah turun dari masjid UIA PJ. Saya bersyukur gembira kerana wajah isteri sahabat saya itu ternyata jernih dan bersih. Saya memikirkan betapa bahagia, Fazrin mendapat isteri sebegitu yang terpancar sinar keimanan, manakala lagi bahagia si akhawat itu kerana mendapat Fazrin yang ternyata berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan sentiasa memakaikan pakaian Iman.

Bayangkan, jika ikhwah memiliki taqbis daripada nur Illahi, bertemu dengan akhawat yang turut memiliki taqbir nur Illahi, maka walhasilnya adalah nurun ‘ala nur- cahaya di atas cahaya. Amen ya Rabb, aku juga ingin sebegitu.

Nahi adalah seorang yang kuat bergerak untuk Islam dan nyata hidup dan matinya hanya untuk melihat Islam kembali tumbuh mekar dalam jiwa dan jasad penganutnya sekaligus tumbuh di muka bumi yang penuh dengan kefasadan ini. Beliau yang saya kenal, adalah seorang yang smart di samping memiliki raut wajah yang boleh membuatkan ramai akhawat terpikat. Tetapi bukan itu sasaran kalam saya, saya sebenarnya lebih bermaksud, wajahnya yang memikat itu tercerna hasil keimanan yang tertunjang teguh dalam jasadnya.

Padanlah apabila ayahnya (moga-moga mendapat ampunan dan rahmat Allah) membubuh nama anaknya Nahi -cegah-. Anaknya ternyata bertumbuh sebagai seorang yang sangat bencikan kemungkaran dan pantang melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata. Akalnya sentiasa bekerja untuk menangkan Islam walau apa jua cara. Nahi bangkit sebagai seorang yang ingin mencegah segala perkara yang membantutkan kemenangan umat yang bertuah ini. Nahi besar memanjang sebagai seorang yang terlalu ghairah untuk kibarkan panji Islam lalu dipacakkan ke dalam setiap kalbu sebelum ia berkibar di muka bumi. Nahi ingin sekali membina sebuah keluarga muslim yang menerapkan unsur-unsur Siddiqiyyah yang akhirnya akan memberikan impak kepada Islam itu sendiri.

Saya kepingin sekali mengikut jejak langkah beliau. Saya juga sering mendoakan kebaikan buat orang yang meletakkan perjuangan di atas pundak bahu-bahu mereka, tidak lupa juga sahabat saya Wan Firdaus yang juga seorang yang menghafal al-Quran di dada, bukan hanya di lisan. Ibu saya juga sudah tidak sabar melihat menantunya yang diharap seorang yang meletakkan Islam sebagai matlamat hidup.

Kata ibu: Tahun depan, ma ingin melihat siapa bakal menantu ma….alangkah, saya sendiri tidak tahu,..

3 Comments »

  1. Bayt Muslim amat digalakkan kerana ana merasakan hanya dengan cara ini sahaja perjuangan Islam dapat diteruskan kerana mempunyai fikrah yg sama..Kisah2 yg diceritakan dalam catatan asal ini hendaklah dicontohi..

    Comment by qudwah hasanah — January 27, 2008 @ 10:16 am

  2. dulu sy pernah berkata pd rakan2 “kalau boleh aku tak mahu bersuamikan seorang doktor perubatan” mengapa?kata rakan2 sy.”sebab doktor xde life, hdpnya hy di hospital mengadap pesakit, nnt tinggl kita berseorangan di rumah”begitulah alasan sy.
    namun sy bfikir kembali, apekah seorang suami itu tempatnya sentiasa didepan mata isterinya?
    maka saya menarik balik kata-kata sy ttg bersuamikan doktor kerana pada sy mungkin itu dasar perjuangan seorang doktor yang menjadikan hospital sbg isteri pertamanya tidak jauh beza dgn seorang pejuang ALLAH yang menjadikan perjuangan Islam sebagai Isteri pertamanya.terharu dgn 1511 H (KOMBAT) karangan Faisal Tehrani.

    Comment by noor saadah — January 30, 2008 @ 7:03 am

  3. Assalamualaikum..
    Sukacitanya dimaklumkan ana salah seorang yang amat mengagumi ust Dzul.suka baca setiap bait kata-kata ust. Cme ada satu kata-kata hikmah yang saya rasa perlu dikongsi. ”manusia adalah insan kerdil yang sentiasa cenderung melakukan kesilapan…berdampinglah kamu dengan insan-insan yang mampu menasihati kamu apabila kamu melakukan kesilapan… serta insan yang mampu menerima teguran apabila dia melakukan kesilapan… kerana manusia itu diciptakan saling memerlukan antara satu sama lain.” citarasa ust mmg tinggi(cita2 seorang yg soleh),pasti pyh seorang wanita mahu mnwrkan drnya menjadi pndamping hidup ust. Sudahnya, ramai yang takut mendekati seorang yang hebat dalam perjuangan walau ia sendiri dalam jemaah tersebut. Tp ciri2 tu mmg tul. he.. hanya pandangan. Pe pun, saya sgt suka baca artikel2 yg ust Dzul bntgkn. Byk yg blh dijadikan muhasabah buat dr. Hrp blog ust dpt istiqomah. Hingga akhit hayat ust. Mg dpt menginsafkn ramai org. Saya cme rasa terpanggil tuk komen.he… Anggaplah ape yg saya kte sbg tgrn dr seorang adik. Semoga maju jaya dalam semua impian dan harapan. Allah bersama kte!TAKBIR!!!

    Comment by long — February 13, 2008 @ 5:47 am


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: