Dzulkhairi’s Weblog

January 29, 2008

TULISAN INI, UNTUK YANG MELETAKKAN AKHIRAT DI HADAPAN, BUKAN DUNIA

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 3:22 pm
Ramai yang memberikan respon terhadap kisah Nahi Yang Bertuah. Nahi sendiri membacanya dari bumi Kinanah Mesir. Beberapa orang memberikan komen ringkas melalui SMS termasuklah golongan muslimat. Kata mereka, terasa kekerdilan diri setelah membaca kisah sebegini, dan saya sangat berharap ia merupakan suatu pencetus ke arah melahirkan akhawat yang bersedia untuk menjadi isteri yang solehah terhadap seorang suami. Malah begitu juga sebaliknya terhadap golongan Adam.

Kata ma, tidak pernah ia bercinta. Cintanya hanya timbul dan mekar setelah berkahwin dengan abah. Kata tok ayah, keluarga keturunan Tok Pulai Chondong terus datang melamar ma setelah ma menamatkan pengajian di universiti tertua di Malaysia.

Biasanya anak muda kuat bercinta di alam sekolah menengah kemudian disambung pula di alam kampus. Kononnya ketika itu merekalah orang yang paling bahagia kerana bercinta, dan mereka merasakan cinta adalah segala-galanya. Kata orang, makan tidak kenyang mandi pula tidak basah.

Saya pula tidak pernah sempat bercinta di sekolah menengah. Almaklum, saya berada di sekolah yang semuanya sama gender dengan saya. Terkadang, terasa juga untuk kami bercinta, mengintai mana-mana anak dara yang ada, tetapi yang ada hanyalah makcik kantin yang setia membubuh nasi dan lauk ke dalam pinggan-pinggan kami.

Akhirnya, alam sekolah menengah berakhir begitu sahaja. Tidak sempat untuk kami mengecap cinta monyet sebagaimana anak-anak muda yang lain. Terasa juga kadang-kadang dalam hati untuk keluar bersama kaum Hawa, bergurau senda dan memetrai sebuah janji setia. Tetapi suasana huffaz tidak mendorong saya ke arah kehidupan yang menjijikkan itu.

Kami akhirnya hanya bercinta dalam usrah-usrah. Bercinta dengan Sa’id Hawwa, Hassan al-Banna, Abdullah Azzam, anak-anak pelarian Palestina, tahajjud saban malam, mushaf al-Quran kecil yang sentiasa dalam poket, dan lain-lain. Hingga sudahnya, syukur dipanjatkan kepada Allah yang menjaga kami dengan baik meskipun kadang-kadang terteguk air kerana lemas.

Ketika usia merangkak 17, terkadang terlintas juga keinginan. Ustaz-ustaz pula memancing, supaya dikahwini seorang hafizah yang boleh menjaga al-Quran yang dihafal. Saya juga berkeinginan sebegitu. Mencari seorang hafizah yang beramal, bukan senang. Kami ketika itu merasakan bahawa kamilah orang yang paling mulia, maka yang paling layak mendampingi kami hanyalah orang semacam kami. Barulah dengan itu dapatlah kami merasakan kekhusyukan dalam tahajjud, sama-sama membaca surah-surah yang pernah dihafaz, dan kadang-kadang membaca hadis sebagai penyejuk hati.

Kata ustaz sambil membaca hadis: Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarinya. Lalu kami merasakan kamilah golongan termulia dan selayaknya yang mendampingi kami jua hafizah, bukan orang lain. Barulah dengan itu kami dapat melahirkan orang yang mulia juga.

Tetapi world-view saya berubah akhirnya setelah menjejakkan kaki ke bumi Tarbiah Nilam Puri. Melihat suasana yang terwujud di sana, saya merasakan suatu keselesaan yang amat sangat, malah tidak takut untuk saya menyatakan keselesaan itu lebih indah berbanding berada di bumi huffaz. Bumi Nilam Puri adalah bumi yang melahirkan para pejuang dan orang yang sanggup mewaqafkan diri dalam perjuangan dan mencagarkan hidup dengan kepentingan akhirat.

Saya sangat bersyukur kepada Ilah, kerana saya masih mampu meneruskan kembara cinta saya. Bercinta dengan kata-kata al-Banna, semangat Syed Qutb, roh pejuang-pejuang pembuka Constantine, al-Ayyubi, dan lain-lain. Ya, kami tidak bercinta dengan kaum Hawwa, kerana kaum Hawwa ketika itu juga bercinta dengan semangat jihad yang menyala-nyala.

Lalu, saya diberi dua pilihan. Antara hafizah yang dianggap semulia-mulia golongan, atau generasi Zainab Al-Ghazali yang mempunyai semangat perjuangan yang jelas dan sanggup mengorbankan diri demi perjuangan.

Siapa tidak berasa bertuah apabila mendapat teman yang meletakkan perjuangan sebagai mahar perkahwinan. Kisah Mustafa Masyhur yang berkahwin dengan perjuangan dan meminta bakal isterinya bersedia untuk bermadu dengan perjuangan menjadi pembakar obor semangat kami. Begitu juga kisah Zainab al-Ghazali yang hanya meminta keizinan agar tidak dihalang jalan jihadnya.

Berkahwinlah untuk Islam. Sesungguhnya nabi berbangga dengan umatnya yang ramai. Berkahwinlah dengan harapan agar lahirnya zuriat-zuriat yang akan dipersembahkan kepada jalan jihad dan merelakan anak sebagai korban syahid. Didiklah generasi masa depan, dan berniatlah agar kesemua mereka menghafaz al-Quran dan menterjemahkannya dalam kehidupan.

Berkahwinlah, dan jangan sesekali mempermainkan akhawat dalam hal ini. Dalam hal ini, kedua-dua Adam dan Hawwa mesti serius dan meletakkan Islam sebagai matlamat dalam perkahwinan, bukannya nafsu dan kepuasan hati semata-mata. Berkahwinlah, dan pilihlah orang yang berhati mulia sebagai teman hidup. Berkahwinlah, dan jadikan perkahwinan sebagai minyak pelincir memudahkan jalan jihad bukannya penghalang.

Sebaik-baik orang adalah orang paling baik dengan isterinya, dan nabi adalah orang yang paling terhadap isteri baginda. Nabi membawa isteri baginda ke Medan peperangan, tidak hanya disimpan di rumah dan tidak dimanja berlebih-lebihan. Pilihlah yang pandai berdikari, agar kelak ia tidak menyusahkan kita malah memudahkan urusan kita.

Tinggalkan cinta monyet, sekejap dengan yang sana, sekejap pula dengan yang sini. Jangan mungkiri janji, tunaikanlah kerana orang yang mempermainkan janji ternyata memiliki sifat nifak dalam diri. Apapun, saya pula sudah berjanji, perkahwinan saya bukanlah untuk saya. Saya letakkan ibu saya di hadapan, kerana sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dalam hidup adalah ma. Isteri, boleh dicari. Anak, boleh dicari. Ma, tidak sekali-kali. Abah, tidak sekali-kali.

Pesan ma, pilih yang pandai berdikari, yang menyejukkan hati apabila melihatnya kerana keimanan yang terpancar. Pilihlah yang cerdik dan membantu, boleh bekerja dan beramal untuk Islam. Malah, saya akan berkahwin apabila ma memintanya, jika tahun hadapan, tahun hadapanlah, jika 10 tahun lagi kerana ingin menjaga keluarga, maka 10 tahun lagilah jawabnya.

Jangan dipilih yang tidak pandai menjaga diri. Usah melihat kepada yang mementingkan diri. Usah dipilih yang hanya kaya harta tidak kaya budi. Mungkin ada dua hasrat ma yang tidak saya tunaikan. Kata ma, ia mahukan Doktor. Saya katakan, sudah ada dua orang adik menjadi doktor insya-Allah. Kata ma, pilihlah anak kaya supaya senang hidup. Saya menolak, saya hanya memilih yang kaya budi, kerana saya tidak mengharap pada harta.

Saya berpesan kepada pejuang Islam, pilihlah orang yang turut berjuang. Kepada muslimin, mulakan perkenalan kerana akhawat dihiasi malu yang menebal. Kepada akhawat, pandai-pandailah berkias, moga anda mendapat orang yang mulia. Jangan menyesal di kemudian hari, gara-gara malu yang terlalu menebal.

Hrmm…panjang pula celoteh saya.

Naqib saya telus menawarkan diri untuk mencari hafizah yang kini sedang menuntut di Mesir untuk menemani saya. Pejuang katanya. Alangkah, seorang hafizah, juga seorang pejuang. Nahi, setelah membaca artikel saya berkenaan beliau, terus menawarkan diri untuk mencari untuk saya. Seorang ustaz, menawarkan saya seorang muslimah berbudi yang menjadi tahajjud sebagai sarapan pagi. Aduh, lentur jiwa saya, kerana sungguh, saya mencintai orang yang mencintai tahajjud.

Penat juga untuk saya istikharah jika begini. Siapa tidak jatuh hati kepada orang yang menggemari tahajjud. Siapa yang tidak berkenan dengan orang yang asyik menggerakkan jari jemarinya membilang zikir. Siapa yang tidak menyukai yang bibirnya sentiasa terkumat-kamit memuji Allah dengan tasbih. Siapa yang tidak tersentuh dengan orang yang menghabiskan masa dengan membaca menambahkan ilmu dan jihad sebagai pakaiannya.

Kepada mana-mana muslimin yang mengenali saya, ketahuilah, akhawat memerlukan orang yang dapat memayungi mereka di celah-celah keriuhan dan kegemparan mahsyar kelak.

Kepada mana-mana muslimat yang mengenali saya pula, ketahuilah, bahawa muslimin memerlukan orang yang melicinkan perjalanannya menuju redha Illahi.

Sekali lagi kepada mana-mana muslimin, ketahuilah, janganlah memilih pasangan hidup kerana rupa paras semata-mata kerana yang licin akan berkedut. Manakala kepada muslimat sekali lagi, jangan memilih orang yang mampu memberikan kesenangan dunia kepada anda tetapi akan menyusahkan anda di akhirat kelak.

Saya menyatakan kepada orang yang ingin bersama orang seperti saya, KAMI TIDAK MENJANJIKAN KESENANGAN DI DUNIA, TETAPI KAMI AKAN MEMASTIKAN KALIAN AKAN BERSENANG-LENANG DI AKHIRAT KELAK SEMAMPU KAMI. SESUNGGUHNYA, KAMI MEMILIH KALIAN KERANA ALLAH, MAKA NESCAYA KAMI MELEBIHKAN CINTA KEPADA ALLAH DAN JIHAD BERBANDING KALIAN. ALLAH, AMPUNILAH DOSAKU…

(dan saya sendu memikirkan ramai yang berkahwin, kemudian lemas dalam dakapan melekakan seorang perempuan, malah sendu saya makin bertambah, kerana sangat khuatir saya juga begitu. Ilahi, tolonglah teguhkan iman hamba-Mu ini YA RABB)

2 Comments »

  1. alhamdulillah..
    sesungguhnya orang suci..
    menjaga kesuciannya dengan pernikahan..
    menjaga pernikahannya dengan kesucian..
    sejarah membuktikan pernikahan bukanlah penghalang da’wah..
    kerana pernikahan dan da’wah adalah selari..
    apa yang disampaikan oleh penulis adalah sangat bagus..
    penulisan yang amat berhati2..
    tahniah..

    Comment by anjang n acax yang baik — January 31, 2008 @ 4:55 pm

  2. subhanallah..alhamdulillah..
    sukar utk temui pemuda yg berjiwa dan berfikiran matang hari ini..teruskan perjuangan,moga terus dirahmati dan diberkatiNya..

    Comment by ala — February 13, 2008 @ 5:46 am


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: