Dzulkhairi’s Weblog

February 3, 2008

KERTAS KERJA IDEA: KE ARAH MEMARTABATKAN USRAH

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 8:05 am
USRAH

Usrah merupakan satu daripada enam elemen yang diperkenalkan oleh Ikhwan al-Muslimun dalam meningkatkan mutu pertarbiahan ahli gerakan Islam. Ia bermatlamatkan membina ukhuwah atas sendi aqidah, fikrah, kesedaran, dan cita-cita. Matlamat ukhuwah diletakkan sebagai matlamat tertinggi di samping proses menerapkan kefahaman dan membina kaderisasi yang bernilai.

Ukhuwah dianggap sebagai asas kejayaan bagi sesebuah gerakan sebagaimana termaktub dalam nas-nas yang sorih. Ia dijadikan sebagai imad dan autad yang menjadi pemangkin, seolah-olah akar yang mencengkam bumi, jauh ke dalam. Proses membina ukhuwah mestilah kreatif dan biasanya ia terbina setelah melalui halangan-halangan kepayahan.

Puzzle adalah gambarannya, ada yang besar dan ada yang kecil, saling melengkapi antara satu sama lain. Konsep ithar melangkaui walaw kaana bihim khasasah adalah tahap tertinggi dalam konsep ini, sekurang-kurangnya berlapang dada dan meletakkan segala keburukan pada diri sendiri dan menyahkan perasaan prasangka tidak menentu terhadap orang lain.

Konsepnya sebegini: Lupa kebaikan diri, tetapi ingat kebaikan orang. Ingat keburukan diri, tetapi lupa keburukan orang. Dalam usrah, soal ini yang dibina. Seolah-olah, tayar sahaja tidak dianggap kereta. Stereng juga tidak boleh dikatakan kereta. Tetapi gabungan kesemua termasuk pintu, baru membentuk sebuah kereta. Kepala tidak indah tanpa rambut sebagaimana tangan tidak berguna tanpa oto-otot yang menggerakkannya. Tubuh pula tidak bernyawa tanpa jantung yang berfungsi.

ELEMEN-ELEMEN PENGUAT USRAH

Elemen terpenting dalam pembentukan adalah murabbi. Murabbi adalah penternak yang berjiwa dan mempunyai selera yang tinggi untuk memenangkan Islam dengan apa cara sekalipun. Ini digambarkan oleh Sa’id Hawwa berkenaan gurunya, betapa gurunya bekerja mempertahankan Islam seolah-olah Islam seekor kambing yang disembelih.

Murabbi tidak boleh hanya seorang yang soleh tanpa menafikan kesolehan sebagai faktor terpenting. Murabbi perlu melengkapi dua faktor utama mencakupi kesolehan dan kebijaksanaan. Ia boleh kita sebutkan juga sebagai kuasa Al-Quwwah wa al-Amanah. ‘Umar menyatakan kebimbangan terhadap maksiat-maksiat yang dilakukan kerana dibimbangi akan menghilangkan keberkatan, dan dalam masa yang lain beliau menyatakan kegusaran terhadap orang yang tinggi taqwa tetapi tidak strategis.

Murabbi menghayati makna mas’ul dan melengkapi raa’in. Mereka mendidik ahli mengikut kesesuaian zaman mereka, bukan mengikut zaman mereka ditarbiah. Mereka memahami kalam Albert Enstein: Permasalahan masa dahulu akan dapat diselesaiakn dengan pemikiran masa sekarang.

Idealisme mereka memuncak dan mereka mencintai pembaharuan. Seorang sarjana menyebut, perkara yang sentiasa berganjak dan tidak static adalah perubahan. Mereka sentiasa mencari strategi untuk membentuk ahli mereka.

Elemen seterusnya adalah manhaj tarbiah. Namun manhaj tarbiah dan elemen seterusnya bukanlah satu perkara yang terpenting jika dibandingkan dnegan murabbi, kerana dalam membentuk fard muslim yang bernyawa, seorang murabbi tidak akan mengira siapa sahaja yang menjadi anak didik mereka. Tidak perlu kita katakan nilai kesetiaan dan kepatuhan itu penting, cukuplah dikatakan sebagai supplement dan perencah menambah rasa.

Namun janganlah sampai kita mengabaikan manhaj ini kerana sesuatu yang bermanhaj akan melicinkan lagi perjalanan. Ia ibarat minyak pelincir yang banyak memberikan manfaat kepada gerakan Islam. Struktur manhaj boleh diperhalusi berdasarkan sirah-sirah nabi SAW dan apa yang telah disusun para ulama haraki yang faqih, bukan hanya alim.

Pembentukan ahli jangan hanya dilihat dari kaca mata nilai budi dan ilmu semata-mata, kerana sejarah membuktikan Islam pernah bangkit di tangan orang yang kurang nilai budi dan kurang berilmu. Khalid al-Walid telah melanggar beberapa arahan nabi dan bertindak semberono tetapi beliau merupakan enjin utama kepada gerakan. Ikramah belum sempat mendalami ilmu sedalam mungkin tetapi mati sebagai syuhada’ dalam membela Islam.

Senangnya disebut, kita jangan menyangka hanya orang yang ‘baik’ menjadi pemenang kepada Islam. Justeru, pemilihan ahli mestilah meluas. Kita mungkin boleh menyandarkan kekuatan kita kepada kata-kata Umar al-Khattab: Sesungguhnya nilai Islam ini berkurangan sedikit demi sedikit apabila tiada lagi orang yang mengenal jahiliyah dalam Islam.

MEKANISME USRAH

Apabila dikatakan pemilihan ahli ini luas dan tidak terbatas dalam satu-satu sempadan, maka nilai kekreatifan dan kritis sangat mustahak. Mungkin usrah akan berbentuk ilmu jika ahlinya terdiri daripada pencinta ilmu, atau boleh jadi juga sebaliknya. Usrah mungkin boleh jadi praktikal dan bersifat amali jika ahlinya terdiri daripada orang yang banyak bergerak daripada bercakap, namun boleh juga jadi sebaliknya sebagaimana di atas.

Usrah boleh dibuat dalam bentuk daurah yang leboh menitik-beratkan soal perbincangan. Alangkah baik sekiranya apa yang dibincangkan dimuatkan dalam satu kertas kerja idea lalu dibentangkan di peringkat yang lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya dijadikan sahaja bahan rujukan.

Usrah boleh dibuat dalam bentuk yang agak ‘memaksa’ dalam melatih ketekunan dan kekuatan ahli sekaligus menjadikan ahli sebagai nadi utama gerakan. Malah ia boleh juga dibuat dalam riadah, ziarah, dan sebagainya. Kita tidak boleh terlalu rigid dengan usrah sehingga kita menganggap usrah sebagai medan yang agak ‘ortodoks’ dan beku, sebaliknya usrah mesti digerakkan dalam bentuk fluidity yang mencair dan menyerap, bagaikan aliran air yang tidak mampu disekat oleh mana-mana batu.

Justeru, kemungkinan naqib akan membuat tayangan video, atau belanja makan malah ‘dibelanja’, bermain teka-teki, belajar bersama-sama, membuat operasi khusus Malam Merdeka atau Malam Tahun Baru, bermain carrom atau chess, belajar skill computer, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Semua ini anjal dilaksanakan dengan syarat unsur kefahaman dan kesedaran mesti diberikan secara implisit dan eksplisit.

TADRIJ

Unsur tadrij sangat penting dalam mana-mana tarbiah. Kita tidak boleh memetik buah sebelum masaknya, atau menggerakkan kereta di waktu pagi tanpa memanaskan enjin terlebih dahulu. Malah nabi SAW mengajar kita, untuk bertahajud sekalipun memerlukan kepada solat sunat dua rakaat yang ringkas.

Tadrij bermaksud beransur-ansur. Bermakna, dalam tarbiah memerlukan kepada pemeringkatan dalam memastikan ahli usrah akan melalui kesmeua pengalaman tarbiah dalam bentuk yang lebih membumi. Seseorang yang tidak melalui unsur tadrij akan mudah tenggelam dan lemas sekalipun pada awalnya mereka merupakan seorang yang sangat bersemangat.

Dalam tadrij, satu perkara yang boleh dikadikan peringatan ialah, jangan kita ingin melihat hasil sesuatu perkara dalam jangka terdekat kerana perjuangan memerlukan kepada jangka hayat yang panjang dan memerlukan nafas yang tidak semput.

PENUTUP

Terlalu banyak perkara yang ingin disentuh berkaitan dengan usrah. Perbincangannya terlalu panjang dan ia memelukan kepada syarahan lisan dan pembacaan yang meluas. Kita tidak boleh lagi terikat dengan pendekataan Al-Banna secara rigid tetapi mengadaptasikannya mengikut kesesuaian.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: