Dzulkhairi’s Weblog

February 21, 2008

SAYA MERINDUIMU

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 11:05 am

Mat sangat rapat dengan saya. Seingat saya, perasaan mesra antara kami sudah mula wujud seawal perkenalan kami, yang akhirnya membawa kepada satu persahabatan yang sangat telus dan indah. Saya menjemput Mat bersama Shahir untuk tinggal sebilik selepas Minggu Haluan Siswa.

Nama sebenar Mat adalah Zulkifli Yusuf. Seorang yang kurus-kurus tinggi, agak lurus tetapi juga berprinsip. Mat seorang penghafaz al-Quran dan berakhlak baik.

Kami sangat rapat. Kadang-kadang kami sparring, menguji ilmu taekwondo yang dipelajari oleh Mat. Taekwondo yang dipelajarinya pada Rabu malam rupanya memberikan sedikit keberanian kepada Mat.

Setiap hari kami akan berjalan kaki ke APIUM, almaklum kami tidak bermotor ketika itu. Kami akan berjalan bersama-sama dan saya tidak pernah meninggalkan Mat walaupun acap kali kami terlewat kelas kerana menantikan Mat yang acap lama bersiap.

Pernah sekali kami cuba merentas Rimba Ilmu, tetapi kami lari keluar balik dek dikejar anjing yang entah datang dari mana. Mat menghormati saya dan saya mengasihi Mat walaupun kadang-kadang suka bergurau dan menyakatnya. Tetapi saya sedaya upaya cuba menjaga hati Mat.

Bagi saya, saya cukup senang dengan Mat. Kami tinggal sebilik dan mengambil jabatan pengajian yang sama. Setiap pagi Khamis, apabila kami berjalan kaki ke Apium, kami pasti akan berusrah. Mat mendengar sahaja bebelan saya dengan baik walaupun saya dapat merasakan Mat kadang-kadang bosan dengan bebelan saya.

Keindahan persahabatan antara kami akhirnya dirampas. Mat tiba-tba jatuh sakit dan kerap tidak bermaya. Mat tidak lagi secergas dan secerdas dulu. Mat asyik terbaring di atas katil dan tidur sepanjang masa. Katanya, sakit tulang dan Mat meminta saya mengurut-ngurutnya.

Shahir agak marah dengan Mat. Katanya, Mat asyik terbaring dan disebabkan itulah dia sakit pinggang. Saya pernah sekali memarahi Mat dan saya sangat kesal dengan perbuatan itu. Saya takkan memaafkan perbuatan saya itu selama-lamanya.

Kami, malah Mat sendiri tidak tahu apakah gejala yang menimpa Mat sehingga sakit tulang belakangnya semakin bertambah dan beliau semakin tidak bermaya. Bersedih dan murung saja sepanjang masa, seolah-olah kemurungan itulah teman Mat.

Doktor tidak dapat mengesahkan apakah penyakit yang sedang dihadapi oleh Mat. Kata doktor, hanya penyakit biasa. Hinggalah apabila Mat pulang bercuti sempena Hari Raya, kami mendapat khabar rupanya Mat hanya mendapat penyakit denggi.

Denggi memang berbahaya tetapi sekurang-kurangnya kami sedikit lega. Saya sentiasa mendoakan kebaikan buat Mat, agar beliau sembuh dan dapat bersama saya seperti biasa.

Anehnya, penyakit denggi Mat sangat lama. Saya semakin resah menanti kehadiran Mat, dan kegelisahan itu semakin bersarang dan bernanah di hati saya. Saya tertanya-tanya dalam diri, apa sakit Mat sehingga begitu lama dia terpaksa bercuti? Tidakkah Mat terasa rindu kepada saya sebagai sahabat baiknya?

Akhirnya barulah saya tahu. Rupanya Mat menghidap penyakit leukemia. Penyakit yang sangat menakutkan. Kali pertama saya menziarahi Mat di hospital di Pulau Penang, saya hampir-hampit tidak mengecam Mat yang sudah berkepala botak. Hasil kimoterapi, rambutnya gugur banyak dan akhirnya Mat mengambil keputusan untk membotakkan kepalanya.

Mat menangguhkan sesi pengajiannya. Dua sem berlalu, Mat datang mendaftar balik sebagai pelajar UM. Baru sahaja belajar dalam beberapa minggu, penyakitnya kembali ’meraung’ dalam dirinya, menyebabkan Mat terpaksa sekali menangguhkan pengajiannya.

Mat bertanyakan saya, apa yang harus dilakukan olehnya. Meneruskan pengajian atau terus menanggung derita yang tidak terbeban itu. Saya mendiam 1000 bahasa.

Seingat saya, kali terakhir saya melawat Mat, Mat berada di PPUM. Saya hampir menangis melihat keadaan Mat, yang semakin gering dan seolah-olah hanya menanti saat derita itu ditamatkan dengan jalan yang paling mudah. Saya menahan sebak, hanya menangis dalam hati menahan sedih yang amat melukakan.

Kata Yusri yang menziarahi Mat, Mat menangis betul-betul di hadapan Yusri. Mat sudah tidak dapat menahan segala kesakitan yang menimpanya selama ini. Bukhari paling setia menjaga Mat, sentiasa membawakan ikan keli goreng kesukaan Mat. Bukhari memang sahabat setia, apatah lagi beliau pernah merasa sakit dan terlantar lama.

Hinggalah akhirnya, saya mendapat khabar mengejutkan di waktu pagi. Mat meninggalkan kami secara mengejut. Saya benar-benar tersentak mendapat tahu cerita tersebut. Saya langsung tidak menyangka riwayat hidup seorang sahabat baik berakhir begitu mudah dan mengejut.

Mat, mengapa begitu cepat engkau meninggalkan aku di sini? Tidakkah kau tahu, betapa hati ini merintih kasih dan sayang padamu? Namun aku redha, kerana kematian menamatkan sengsaramu selama ini.

Mat, terimalah hadiah al-Fatihah dariku. Jangan lupakan aku di alam sana. Moga-moga kita dipertemukan Allah dalam suasana yang sangat menggembirakan kelak.

Sahabat-sahabat pengunjung blog yang saya kasihi, cuba kita renungi sejenak. Kematian boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja. Apa perasaan kita jika kelak kita tidak tergolong dalam penghuni syurga. Bukankah ketika itu akan hitamlah episod hidup kita.

Saya sendiri tidak tahu ke mana arah saya. Tetapi saya dapat membayangkan, betapa cemburunya saya terhadap Mat, yang saya yakin merupakan seorang penghuni syurga yang dimuliakan Allah.

Mat, syafaatmu, kuharapkan…

1 Comment »

  1. salam…semoga persahabatan enta kekal hingga ke akhirat kelak

    Comment by mujahidahDEEN — March 4, 2008 @ 1:12 pm


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: