Dzulkhairi’s Weblog

April 23, 2008

SUATU RENUNGAN BERSAMA

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 5:51 am

Banyaknya Solat Istikharah Beliau

Imam al-Bukhari sangat unggul dan merupakan ulama yang paling terkenal dalam bidang hadis. Setiap kali beliau ingin memasukkan mana-mana hadis dalam kitabnya, beliau akan mengambil wudhu’ dan mengerjakan solat istikharah. Ini bermakna, beliau telah mengerjakan ratusan ribu rakaat solat istikharah. Itu baru solat istikharah, bukan lagi solat sunat yang lain.

Rahsia al-Syafei

Al-Syafei juga sangat hebat. Imam Ahmad selalu memuji-muji gurunya ini dihadapan anaknya. Satu ketika, anaknya menggesa Imam Ahmad untuk mengajak Imam a-Syafei menjadi tetamu mereka, agar dapat dipelajari sesuatu daripada ulama yang menjadi sebutan ayahnya. Apa yang aneh ialah, al-Syafei makan banyak sekali apabila dihidangkan makanan dan beliau tidak bangkit untuk menunaikan tahajud pada malamnya. Anak Imam Ahmad berasa aneh. Rupanya al-Syafei makan banyak kerana ingin mengambil berkat daripada Imam Ahmad yang merupakan seorang ulama hadis yang terkemuka. Malamnya pula al-Syafei sibuk memikirkan masalah ummah sehingga satu malam suntuk. Diriwayatkan juga beliau mengkhatamkan al-Quran sekali sehari dan dua kali sehari pada bulan Ramadhan.

Khusyu’nya Ibadat Mereka

Al-Zubayr Ibn al-Awwam ketika mengerjakan solat, bagaikan pokok yang tidak bergoyang walau sedikit. Thalhah bin ’Ubaydullah sangat berani dan handal berperang sehingga diibaratkan Rasul, suaranya sahaja lebih baik daripada 1000 orang tentera. Uthman mati dibunuh sedangkan mushaf al-Quran berada di tangannya. Beliau sangat rajin membaca al-Quran sehingga dikatakan beliau mengkhatamkan satu kali al-Quran dalam satu rakaat tahajud.

Keagungan Pemimpin

Umar al-Khattab meskipun pemimpin tertinggi umat Islam, hanya tidur di atas padang pasir tanpa seorang pengawal. Cicitnya Umar Abdul Aziz pula setiap malam menangis sehingga kedengaran esaknya di waktu sujud. Seorang sahabat nabi mengasingkan diri dalam rumah apabila turun ayat al-quran yang mencela sesiapa yang meninggikan suaranya di hadapan Rasul SAW. Sangka beliau ayat tersebut turun kepada beliau kerana suara beliau kebetulan memang kasar dan kuat. Beberapa sahabat nabi berasakan diri mereka munafiq. Abu Ubaydah Amir al-Jarrah berasakan lebih baik dirinya menjadi seperti kibasy, yang disembelih kemudiannya dimakan daripada bertemu Tuhan pada hari akhirat kelak.

Singa Padang Pasir

Anas bin Nadhr seorang tempang, dibunuh dan dicincang sehingga hanya saudara perempuannya sahaja yang mengenali mayatnya. Khalid al-Walid dalam satu peperangan berjaya membunuh 5000 tentera Rom dan sembilan bilah pedangnya telah patah. Jaafar bin Abu Talib dibunuh namun panji perang tetap berada di tangannya.

Maka Ternyatalah

Apabila kita membaca kisah-kisah mereka ini, barulah kita dapat mengukur sejauh mana sahaja tahap dan kedudukan kita. Ternyata benarlah kiasan, betapa jika dibandingkan dengan debu-debu yang terlekat di tapak kai mereka, ternyata debu-debu tersebut lebih mulia pada perkiaraan Allah.

Mereka Diingati, Kita Pula Dilupakan

Mereka lahir sebagai orang yang sangat mulia, hidup mereka dimuliakan, dan mereka meninggalkan dunia ini dengan penuh kemuliaan. Tulisan-tulisan, nasihat-nasihat dan pusaka-pusaka mereka tetap diwarisi sehingga sekarang. Kita bandingkan, tulisan kita seperti assignment sebagai contoh, tiada orang yang ingin membacanya malah kita sendiri tidak menyimpannya kadang-kadang. Tetapi imam-imam terdahulu, al-Ghazali sebagai contoh, tulisan beliau kekal samapi sekarang, dibaca dan direnung oleh pelbagai lapisan masyarakat, tua mahupun muda, lelaki mahupun perempuan, malah telah diterjemahan ke dalam pelbagai bahasa. Imam Malik sebagai contoh, setelah menyiapkan al-Muwatta’, beliau meletakkan kitab tersebut dalam sungai namun tidak tenggelam, menunjukkan kitab tersebut diberkati Allah.

Nasihat mereka dihafal dan dicatit, sedangkan nasihat kita berapa sahaja orang yang mahu mendengarnya dan berapa sahaja yang mencatit dan mengingatnya. Ternyata kita lebih hina berbanding dakwat-dakwat qalam yang mereka gunakan untuk menulis kitab-kitab mereka.

Sila Bandingkan

Ibn Taymiyah mengarang satu kitab tebal tentang Istiqamah. Saya fikirkan, kalau kita diberi masa untuk menulis tentang istiqamah, berapa muka surat sahaja mampu untuk kita coretkan? Kalau diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja tentang istiqamah, berapa jam atau berapa minit masa yang mampu kita manfaatkan? Masya-Allah, ulama yang terkenal, cukuplah syarahan Basmalah mengambil masa satu jam, belum lagi masuk kepada syarahan yang lain. Syarahannya meliputi aspek bahasa, balaghah, nahu, saraf, tafsir, asbab al-Nuzul, perbahasan ulama tentangnya, cara bacaannya, dan sebagainya.

Bayangkan, al-Syafei mampu mengetahui kesemua berkaitan al-Quran, nombor ayat, berada di bahagian mana, surah apa, juzu’ berapa, di mana dan bila turun, kenapa turun, dan sebagainya.

Bacalah karya Ibn Qayyim, pasti kita terpukau. Beleklah Tafsir al-Zamakhsyari, pasti mulut kita terlopong. Rujuklah al-Tabatabaei dalam tafsirnya yang luas. Bacalah tulisan Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis dan Ibn Rajab Hanbali tentang hadis 50. kemudian tengok jugalah kitab karya ulama nusantara, Syeikh Daud Fatani sebagai contoh, atau Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi. Perhatikan kehebatan Fakhruddin al-Razi dalam Mafatihul Ghayb. Perbincangannya tentang tafsir dan alam semesta sangat meluas. Atau baca sahaja Ibn Rusyd yang menjawab pertikaian al-Ghazali dalam Tahafut al-Tahafut. Dalam dunia tasauf, tengok sahaja keindahan dan keunikan bahasa Ibn ‘Ataillah al-Sakandari. Kita tidak mampu memahaminya dalam konteks yang sebenar, jika difahami sekalipun, ia hanya dalam konteks yang sangat sempit dan kecil.

Perdebatan Yang Unggul

Semua guru yang mengajar di Masjidil Haram gerun dan tumbang apabila berdebat dengan al-Zamakhsyari. Akhirnya datanglan al-Ghazali lalu berlakulah berdebatan antara mereka berdua. Hari pertama perdebatan berlaku, ia hanya berkisar perkara asas dan semua hadirin mampu memahami apa yang mereka perdebatkan. Hari kedua menyaksikan perdebatan semakin rancak menyebabkan orang-orang biasa selain ulama tidak memahami apa yang mereka perdebatkan. Masuk hari terakhir, semua orang termasuk ulama tercengang mendengar isi dan inti pati perdebatan mereka. Langsung kalangan mereka tidak memahaminya.

Perdebatan itu berakhir dengan kejayaan al-Gahzali yang sebenarnya mendapat ilham dari langit setelah tidak mampu mengatasi kebijaksanaan al-Zamakhsyari, seorang ulama Muktazilah yang pakar dalam bidang bahasa.

Guru Yang Bijaksana

Seorang murid datang berguru dengan dengan seorang ulama yang soleh. Suatu hari mereka keluar mengembara. Guru dilantik menjadi ketua dalam pengembaraan mereka. Dalam perjalanan, hujan turun, lalu guru segera melindungi muridnya dengan pakaian. Muridnya bertanya, ”Kenapa guru yang melindungi saya. Sedangkan sepatutnya saya yang melindungi guru”. Gurunya tuntas menjawab, ”Saya adalah ketua dalam perjalanan hari ini, jadi sebagai ketua, saya mesti melindungi anak buah saya”.

Kemudiannya si murid pula menjadi ketua, dengan azam beliau ingin melindungi dan menjaga gurunya sebagai ketua dalam perjalanan. Tiba satu tempat, mereka berehat tidur. Sedar sahaja daripada jaga, beliau melihat gurunya sedang mengumpulkan kayu api. Lalu ia bertanya, ”Kenapa guru yang bersusah payah mengumpulkan kayu api sedangkan menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua untuk melindungi dan menjaga anak buah saya?”. Gurunya menjawab, ”Sebagai anak buah, saya mesti melindungi ketua saya”. Nah, kita pula, apabila menjadi ketua, kita berasa diri sangat tinggi dan tidak layak untuk melakukan kerja-kerja yang kecil dan remeh. Walhal pada hakikatnya, kita adalah hamba Allah dan mereka juga begitu. Kita tidak pernah dijanjikan syurga oleh Allah, tetapi jawatan telah membuatkan hati kita menjadi gelap dan kita telah mengerahkan dan mengarahkan ahli kita untuk melakukan macam-macam sedangkan kita hanya bersenang-lenang. Fikir-fikirkan.

2 Comments »

  1. salamum ‘alaika.melalui artikel ini, kita boleh memahami apakah persediaan sepatutnya dimiliki oleh yang mengaku terlibat dengan gerakan Islam seperti GAMIS. sekadar memuhasabah dan mengkoreksi diri.

    Wallahu’alam

    Comment by Nurul Munawirah — April 30, 2008 @ 5:53 pm

  2. layari http://siswakini.blogspot.com

    Comment by Mahasiswa Kini — May 5, 2008 @ 7:28 am


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: