Dzulkhairi’s Weblog

May 28, 2008

UNTUK MUSLIMAH: ANDA JUGA BOLEH MEMBUNUH NAGA

Filed under: Uncategorized — dzulkhairi @ 3:37 pm

PERANAN DAN HAK WANITA SERTA CABARAN-CABARANNYA
_________________________________________________

1.0 PENGENALAN

Sejak berzaman-zaman, wanita tidak pernah dianggap mulia sehinggalah datangnya Islam. Tamadun Hindu, orang Babylon, Assyria, Parsi dan begitu juga Thracia, Lidia dan bangsa-bangsa Pelasgia yang tinggal di beberapa bahagian Eropah dan Asia Barat tidak meletakkan wanita pada kedudukannya yang sebenar. Malah bangsa Athens yang dianggap mempunyai nilai kebudayaan dan daya ketamadunan yang tinggi sekalipun memperlakukan wanita seperti binatang.

Bagi bangsa Romawi yang terkenal dengan ketenteraannya yang ‘militer’, mereka turut memperlakukan wanita sesuka hati mereka, apatah lagi setelah berlalunya Perang Kathargo yang menyaksikan kemudiannya wanita diperlakukan seperti bintang, kebebasan sosial berlaku tanpa sekatan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Zina merupakan perkara biasa dalam masyarakat Romawi. Wanita dijadikan pelacur kehormat, pentas-pentas komedi mempertontonkan adegan-adegan lucah, mempamerkan kecantikan wanita tanpa pakaian dan rumah-rumah dihiasi gambar-gambar wanita bogel.Perkara yang sama juga berlaku di Parsi yang berpandukan Zend-Avesta sehingga terdapat pemerintah Parsi yang mengahwini saudara perempuannya sendiri dan perilaku tersebut dianggap sebagai satu kebanggaan buat mereka.

Wanita pada zaman Greek dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu kelompok untuk memuaskan nafsu lelaki, menjadi pelayan yang bertugas menjaga tubuh badan dan kesihatan tuannya dan kelompok terakhir menjaga anak, rumah tangga dan keperluan keluarga. Masyarakat Yunani pula menganggap wanita sebagai komoditi dagangan yang tidak berhak mendapat harta pusaka dan pendidikan. Aristotle sendiri berpendapat wanita yang melahirkan anak perempuan adalah teramat jijik dan hina sekali. Plato pernah mencadangkan agar wanita menjadi milik bersama- boleh melahirkan anak untuk mana-mana lelaki bagaikan kandang terbuka. Manakala wanita pada zaman Mesir kuno menjadi mangsa kepada kesesatan akidah apabila dijadikan bahan pujaan dewa yang menguasai Sungai Nil.

Paulus menyalahkan Hawwa yang menyebabkan Adam mengikut kehendak syaitan. Chrysostom menyatakan wanita muda sebagai oerangkap dan wanita tua sebagai bomoh.

‘Aisyah (R.A) menceritakan empat bentuk perkahwinan pada zaman Jahiliah yanG menggambarkan betapa rendahnya mutu dan martabat wanita pada zaan Jahiliyah. Pertama adalah seperti yang dibenarkan dalam Islam. Kedua, si suami mengizinkan lelaki untuk berzina dengan sesiapa selepas suci daripada haid sehinggalah isteri tersebut hamil. Beliau hanya akan menyentuh isterinya selepas didapati hamil kerana mereka inginkan zuriat yang baik. Perkahwinan jenis ini dipanggil istibda’. Ketiga, sekumpulan lelaki yang tidak melebihi jumlah 10 orang berkumpul untuk menyetubuhi seorang wanita, kemudiannya apabila wanita tersebut hamil, maka ia akan memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi ayah kepada anak tersebut. Perkahwinan bentuk kempat adalah pelacuran. Apabila hamil dan melahirkan anak, maka wanita pelacur itu akan memilih salah seorang daripada mereka yang ada iras dengan wajah anak trsebut untuk menjadi ayah. Mereka juga berpoligami tanpa ada batas sehingga mereka mengahwini dua orang adik-beradik sekaligus. Mereka juga mengahwini bekas isteri ayah mereka yang telah diceraikan. Perempuan yang ditawan dalam medan perang juga diperlakukan sesuka hati.terdapat juga kalangan mereka yang menjual anak-anak mereka seperti ‘Abd Allah bin Jad’an.

Namun apabila Islam datang, Islam telah meninggikan martabat wanita sehingga setaraf dengan lelaki. Al-Qaradawi menyatakan Islam memelihara kewanitaan agar ia sentiasa menjadi sumber, kasih sayang, kelembutan dan kecantikan. Justeru, Islam menghalalkan beberapa perkara seperti emas dan perak kepada wanita tetapi diharamkan ke atas lelaki. Islam turut melindungi kewanitaan dan melindungi kelemahannya. Menjadi satu kewajipan ke atas kaum lelaki untuk membela dan menjaga wanita. Islam juga menjaga moral dan sifat malu wanita dan memberi perhatian kepada reputasi dan kemuliaan wanita serta menjaga kesuciannya.

2.0 WANITA MENURUT PERSPEKTIF AGAMA-AGAMA

Pada asalnya, wanita dimuliakan dalam agama Yahudi sebelum agama itu dipesongkan. Namun setelah itu, wanita hanya dianggap lemah malah The Old Testament menegaskan wanita yang melahirkan anak lelaki berada dalam keadaan bernajis selama tujuh hari dan dua minggu jika melahirkan anak perempuan. Tuntasnya, wanita hanya dianggap seperti najis yang perlu dibersihkan.

Nasrani menganggap wanita tidak mempunyai roh. Tertulianus mengatakan wanita merupakan pintu bagi syaitan memasuki jiwa manusia. Carry Suztam berpandangan wanita sebagai jahat kerana berperanan membinasakan, membisikkan kejahatan dan pembantah. The New Testament melarang wanita belajar, mengajar dan mereka mesti berdiam diri semasa di gereja. The Old Testament menegaskan lelaki lebih mulia berbanding wanita. Malah John Chrisistom menyalahkan wanita dengan menganggap mereka sebagai punca kemenangan syaitan dan wanita lebih berbahaya berbanding binatang buas. Sehubungan dengan itu, pendeta-pendeta Nasrani mengambil keputusan untuk melangar fitrah kemanusiaan dengan mengamalkan kehidupan Rahbaniyah, iaitu menjauhkan diri daripada wanita. Namun jika menurut pendedahan yang dibuat, sebenarnya pendeta Nasrani terlibat dengan zina malah lebih memalukan mereka terlibat dengan kegiatan seks yang abnormal. Pastor (paderi) Charles Chiniquy (1809-1888) dalam bukunya Fifty Years In The Church Of Rome menceritakan keganasan Institusi Gereja Katolik Rom yang tidak mengikut ajaran Bible yang sebenar.

Dalam agama Hindu yang berdasarkan sistem kasta, wanita diletakkan di tempat terbawah bersama golongan Sudra. Wanita dijadikan tempat melampias nafsu, pelacur, pengotor, tepat melepaskan kemarahan dan boleh diperdagangkan. Wanita turut digalakkan untuk membakar dirinya setelah kematian suaminya.Manu (penggubal undang-undang Hindu) menyatakan bahawa budak lelaki, isteri, dan hamba sahaya tidak boleh memiliki harta. Huraian dalam kitab Ramayana menunjukkan wanita dan binatang mesti ditekan dengan kekerasan. Reg Veda juga menegaskan wanita tidak diperlakukan seperti sahabat kerana hatinya adalah lubang serigala. Dalam Agama Buddha pula meskipun wanita dipandang sama kedudukan dengan lelaki, namun ia tetap dianggap sebagai perangkap kepada lelaki dan punca kesesatan.

Sebenarnya pemikiran Barat bukan sahaja memandang pesimis terhadap wanita, malah sebenarnya pemikiran rosak Barat telah memberikan persepsi yang buruk terhadap kejadian manusia itu sendiri, bezanya mereka lebih menyalahkan wanita dalam hal ini. Manusia dianggap sebagai bangsa antropomorphous iaitu binatang yang menyusui. Charles Robert Darwin (1808-1885) pada tahun 1858 menulis karya The Origin Of Species yang mengemukakan teori evolusi yang sebenarnya berpangkal kepada teori yang pernah diutarakan oleh Lammark (1744-1829). Proses evolusi ini dikatakan berpunca daripada pertarungan tabi’i (war of nature). Namun teori Darwin tidak dapat dibuktikan malah ditolak kebanyakan intelektual dan pengkaji seperti Nile Eldredge dalam bukunya The Monkey Bussiness, Thomson (Pengarah Commonwealth Institute Of Biological Control di Ottawa, Kanada), Prof. John Moore dari Jabatan Sains di Universiti Machigan, Amerika Syarikat, Sir Roderick Murchinson, Ian Taylor dalam In The Minds Of Men, dan juga Duane Gish. Sugmend Freud pula berpandangan agama muncul disebabkan untuk mengawal kedengkian yang sukar dibendung. Ayah dengkikan anak lelaki yang menyusu ibunya manakala ibu dengkikan anak perempuannya yang rapat dengan ayahnya. Maka, lahirlah agama.

Hassan al-Banna telah memberi kupasan yang sangat tentang beberapa perkara berkaitan dengan kewanitaan.Tegas beliau, Islam telah mengangkat kedudukan wanita setaraf dengan lelaki. Namun tetap ada perbezaan dari beberapa sudut seperti peranan kerana perbezaan struktur tubuh dan psikologi pastinya mendorong kepada perbezaan tanggungjawab dan peranan. Islam mengharmonikan hubungan antara lelaki dengan perempuan melalui jalan perkahwinan malah Nabi SAW menyatakan orang yang bersetubuh dengan isterinya mendapat pahala di sisi Allah SWT. Ini menunjukkan Islam meraikan fitrah bahkan Islam menggalakkannya dalam menjauhkan diri daripada maksiat dan pertumbuhan umat Muhammad secara produktif.

Islam ternyata melihat sesuatu dalam aspek yang cukup luas dan dinamik. Islamic Worldview atau weltanschauung merentas alam fizikal, meliputi dunia dan alam akhirat, amat berkait rapat dengan persoalan realiti sebagaimana ditakrifkan oleh Syed Naquib al-Attas iaitu “vision of reality and truth”.Maka kaca mata Islam melihat wanita mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak dapat disangkalkan dan ia terbukti sekarang apabila ramai wanita yang memenuhi pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi pemimpin dan pentadbir yang terkemuka.

3.0 HAK-HAK UMUM WANITA

Kekangan-kekangan yang dikenakan terhadap wanita menyebabkan sesetengah wanita bangkit membawa gagasan baru dalam memartabatkan maruah wanita. Antara gagasan yang muncul adalah gagasan feminism. Masalah yang timbul seperti kemunculan sekularisme yang diasaskan oleh Martin Luher; perjuangan membela nasib bertukar kepada perjuangan gender yang melampau-lampau. Mereka inginkan hak kesamarataan dengan kaum lelaki sedangkan Islam tidak menekakan kesamaan sebaliknya yang ditekankan Islam adalah hak keadilan.

Gerakan Pembebasan Wanita lahir di Amerika dan Eropah dan dikepalai oleh bangsa Yahudi atau mereka yang berfahaman sosialisme seperti Betty Freiden (1921M), Germaine Greer (1971M), Gloria Steinans dan Simone De Beavoir (1908-1985).

Feminisme merupakan satu gerakan perjuangan wanita dalam menuntut kebebasan mutlak dalam pelbagai aspek seperti sosial, politik, pendidikan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Mereka menuntut hak kesama rataan antara mereka dengan lelaki sedangkan Islam tidak pernah menyama ratakan hak antara lelaki dengan perempuan secara mutlaq sebaliknya Islam hanya memberikan keadilan.

Terdapat banyak hak wanita yang telah digariskan dalam Islam. Malah dalam beberapa hal Islam menjunjung tinggi wanita sehingga menjadi kewajipan bagi kaum lelaki untuk membela dan menjaga kebajikan wanita. ‘Abd al-Majid al-Zindani menyatakan dalam Hak-hak Politik Wanita Dalam Islam empat hak wanita yang perlu dipelihara.

Wanita mempunyai hak untuk mengecapi kehidupan dengan sebaiknya tanpa sebarang diskriminasi. Ini disebut sendiri oleh Allah SWT,

“Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya. Atas dosa apakah mereka dibunuh”

Dalam hal ini wanita mempunyai hak yang sama dengan lelaki untuk hidup, bahkan menjaga hak wanita lebih kuat dan dominan. Wanita mempunyai hak mendapat kemuliaan sebagai keturunan Adam sebagaimana lelaki. Islam tidak pernah membezakan kedudukan antara lelaki dengan wanita malah meletakkan mereka dalam kedudukan yang sama di sisi Allah, cuma nilaian taqwa sebagai pembeza.Malah wanita diberikan hak untuk mengemukakan pendapat dan bermesyuarat, menunjukkan Islam menghargai kemampuan akal dan telahan wanita. Dalam hal ini, perbezaan daya kemampuan dan daya pengamatan antara lelaki dengan perempuan pastinya akan membuahkan satu hasil perbincangan yang lebih mantap dan berkualiti. Perbezaan antara lelaki dengan perempuan telah diterangkan secara panjang lebar oleh John Nicholson dalam karya beliau Men And Women: How Different Are They? Firman Allah SWT,

“Dan orang mukmin lelaki dan wanita saling bahu-membahu antara satu sama lain”

Kedua, wanita diberi hak-hak dalam ekonomi. Islam telah memberi kebebasan penuh kepada perempuan untuk mengatur urusannya baik yang berkait dengan harta, pemilikan, perdagangan dan lain-lain termasuk menggunakan maharnya bila telah bersuami.

Ketiga, wanita diberi hak-hak sosial yang berkait dengan mental iaitu mendapatkan perlakuan baik, mendapatkan pengajaran dan hak memilih suami. Hak-hak sosial berkaitan dengan harta iaitu mendapatkan nafkah, mendapatkan warisan,mendapatkan mahar, hak untuk kemesraan, hak untuk menyusui anak dan mendapat nafkah, hak untuk merawat anaknya dan hak mendapatkan nafkah kerana ‘iddah hak untuk berkerja.

Keempat, wanita diberikan hak-hak untuk berkonstitusi, hak untuk bergiat dalam masalah-masalah yang muncul di tengah masyarakat, menjadi saksi, menjadi pemberi wakaf atau wakil, bersedekah dan sebagainya.

Beliau menegaskan lagi bahawa wanita diberi hak dalam memilih pemimpin, bermesyuarat dan mengemukakan pendapat, amar ma’ruf dan nahi mungkar,hak untuk menuntut penguasa jika zalim dan hak menentang penguasa yang jahat.

4.0 PERANAN

Akhir zaman menyaksikan era siber dan alam globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga. Usaha pembaratan merangkumi cengkaman post-modernisme, sekularisme,kapitalisme, globalisasi dan sebagainya menyebabkan umat Islam semakin jauh dengan kehidupan Islam itu sendiri.

Barat telah mempergunakan wanita semahu-mahunya dalam memusnahkan umat Islam. Protokol-protokol yang disusun oleh Zionis Antarabangsa dalam satu perhimpunan di Basle, Switszerland yang dikepalai oleh Dr Theodor Hertzl telah merencanakan satu perancangan tersusun untuk memusnahkan wanita dalam operasi menghancurkan umat Islam. Prof. John Robinson (1798) dalam bukunya Proofs Of A Conspiracy mendedahkan perancangan Barat yang cuba mensosialkan wanita (socialization of women). Perkara ini didedahkan juga secara terperinci oleh Henry Ford (1920) dalam karya beliau yang telah diharamkan The International Jew. Mereka telah mengelirukan umat Islam dengan pelbagai perencanaan mereka yang berselindung di sebalik badan-badan kebajikan dan istilah-istilah mengelirukan seperti New Ekonomic Order, Global Village, Globalization dan sebagainya. Soal ini jugalah yang telah diterangkan secara panjang lebar oleh Samuel P Hungtington berkenaan dengan pertembungan antara tamadun dalam karya beliau The Clash Of Civilisation And The Remarking Of World Order.

Maka dunia masa sekarang sedang menanti-nanti kemuculan semula wanita-wanita berjiwa dan mampu mengukir sejarah dunia dengan kekuatan tersendiri seperti Aruneb Ishaq yang lebih memilih kesusahan bersama ‘Abd Allah bin Salam, Asma’ Abu Bakar yang rela menempah maut demi menjaga rahsia Rasulullah, Ummu Khayr yang diberi keutamaan memasuki syurga terlebih dahulu berbanding Fatimah, Ummu Habibah yang mengutamakan Rasulullah berbanding ayahnya Abu Sufyan, Ummu Hakim yang redha dengan perginya dua orang suami dalam medan peperangan, Khawlah Azmar yang mengagumkan Khalid al-Walid lantaran kehebatan dan keberaniannya dan juga kecekalan Zinnirah yang memilih matanya dibutakan demi mempertahankan kemurnian akidah.

Wanita adalah pemimpin, sama seperti lelaki. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam satu hadis baginda,

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا
Wanita juga adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rumah suaminya”

Wanita wajib mendahulukan suami dengan mentaatinya, beradab, memuliakannya, memelihara maruahnya, menenangkan hatinya, menghiburkan dan sedia berkhidmat untuknya. Wanita Islam yang berjaya adalah wanita yang berusaha untuk terus maju dan memajukan bidang pendidikan, ekonomi, kesihatan dan kedoktoran, pertanian dan juga bidang seni dan kebudayaan. Wanita Islam yang dinamik tidak boleh lagi mengongkong pemikiran mereka dalam kepompong dapur sahaja lagi, kerana wanita pada masa sekarang mesti berwawasan dan berimpian tinggi. Wanita Islam tidak boleh terus-menerus dikalahkan oleh wanita Yahudi dan Nasrani yang kini menjadi orang-orang penting di dunia seperti Condoliza Rice dan Hillary Clinton. Mesti ada ikon kalangan wanita Islam yang boleh meniupkan semangat dan spirit perjuangan, atau sekurang-kurangnya menjadi penasihat seperti Ummu Salamah yang memberikan nasihat kepada Rasulullah SAW.

MME De Stael mengatakan kesucian fikiran dan kesucian perilaku adalah kehormatan utama bagi wanita. Hamka menegaskan bahawa martabat wanita hanya terangkat melalui kesuciannya.

Rasyidah menegaskan peri pentingnya wanita Islam untuk memperkayakan kemahiran mereka dalam bidang-bidang kritikal yang bersifat fardhu kifayah yang menjadi keperluan untuk ummah pada masa sekarang. Syeikh Umar Bagharib pula berpandangan wanita harus memahami tugas mereka yang sebenarnya dalam konteks yang lebih telus. Bagi beliau, wanita mesti berperanan melahirkan dan membentuk generasi baru untuk Islam yang boleh mengembalikan semula kegemilangan Islam. Beliau turut menegaskan wanitaIslam mesti berbangga dengan Islam dan meninggalkan fahaman Barat yang sememangnya menindas wanita.

Apa yang menarik, John Nicholson menyatakan pendirian anakanya David yang berpandangan bahawa wanita juga boleh membunuh naga.

5.0 MEMBINA TAMADUN TAUHID

Manusia tauhidik adalah manusia berjiwa merdeka yang peka dengan martabat, kehormatan dan kemampuan dirinya sebagai makhluk mulia. Wanita Islam mesti berjiwa kepemimpinan dan inisiatif serta inovatif dalam membina tamadun sebagaimana yang pernah muncul di Sepanyol dan Pulau Sicily di Selatan Itali. Dikatakan fungsi utama kepimpinan profetis adalah transformasi kemanusiaan (human trnasfomation) dan pembinaan budaya (culture building).

Pembinaan tamadun tauhidik mestilah bersumberkan kepada kemantapan akal yang dipandu wahyu. Dalam hal ini, wanita Islam mesti pantas bergerak jika tidak mahu ditinggalkan jauh ke belakang. Mereka mesti sentiasa mahu berubah, berfikiran lateral bukannya vertikel, berani bukannya pengecut. Jika tidak, maka wanita Islam mesti bersedia untuk terus-menerus dikalahkan dengan wanita Barat yang kental cuma tidak beriman.

Adapt or die, sesuaikan diri atau mati. Jangan teruskan tradisi dinosour, kuat tetapi tidak dapat sesuaikan diri dengan suasana menyebabkannya pupus. Wanita Islam mesti ghairah melakukan paradigm shift iaitu anjakan demi anjakan, langkah demi langkah, sehinggalah ke mercu jaya yang berprestij. Kemajuan Jepun sering dikaitkan dengan jiwa kaizen dan keberanian kamikaze. Robert N. Bellah dalam Tokugawa Religion menyatakan kemajuan Jepun amat terkait dengan pengaruh etika Buddhisme-Zen yang dipengaruhi oleh Buddhisme, Shintoisme dan Konfusianisme. Manakala nilai-nilai Portestan seperti individulisme, kerja keras dan sikap (pemikiran) rasional menjadi kekuatan pendorong dan pemacu kemajuan ekonomi dunia Barat. Wanita Islam pula, mesti menjadikan Islam sebagai pendorong, kerana Umar berpesan, kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain Islam akan dihina Allah.

Islam meliputi keseluruhan sfera kehidupan termasuk sosial, ekonomi, politik, budaya, pendidikan dan terdiri daripada hal-hal material, fizikal, emosi, rasional, intelektual, estetika dan spiritual.

Dalam membina tamadun tauhid juga, wanita Islam tidak boleh lagi berfikiran sempit dan terlalu mengongkong budaya kehidupan mereka dengan hukum-hakam keduniaan yang terlalu rigid. Prof. Madya Kamil Abd Majid berfalsafah tentang pemikiran Melayu yang ketinggalan, yang digambarkan sebegini,. Orang Melayu melihat udara lalu dibuat layang-layang, sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang Melayu melihat sungai lalu mereka berenang sedangkan Barat mencipta kapal. Ini menggambarkan beza pemikiran yang mesti dirapatkan secepat mungkin.

Al-Qaradawi menyesali pemikiran sesetengah umat Islam yang terlalu jumud. Beliau menyebut pegangan beliau sebagai pendokong salaf tetapi menjadi satu kewajipan kepada beliau untuk berijtihad sebagaimana salaf juga berijtihad pada zaman mereka. Nyatanya, zaman sekarang bukan lagi zaman untuk menggali parit seperti dalam Perang Khandaq sebaliknya zaman sekarang, wanita Islam mesti memikirkan satu strategi lain yang lebih efektif dan efisien yang bersesuaian dengan zama sekarang.

6.0 CABARAN

Banyak cabaran yang perlu ditempuh oleh wanita Islam dalam membina keyakinan orang terhadap kemampuan mereka. Persidangan Wanita Sedunia ke-4 yang diadakan di Beijing menyaksikan pertembungan antara kumpulan beragama dengan pendokong sekular dan liberal.

Namun wanita Islam mesti teguh dan meyakini slogan-slogan yang bersendikan westernisasi semuanya kosong sahaja dan tidak mempunyai nyawa. Hanya Islam sebagai penyelamat. Islam merupakan satu sistem yang sesuai dengan kehidupan manusia.

Mereka mesti memperjuangkan Islam sedaya upaya mereka seperti Islam merupakan anak mereka. Tanggungjawab ini bukanlah satu kontrak sosial seperti yang difahami Barat tetapi ia merupakan perjanjian azali antara diri manusia dengan Tuhannya.

Di Turkey, wanita Islam berhadapan dengan cabaran sekularisme yang melampau, sehingga untuk bertudung pun menjadi satu permasalahan yang besar. Wanita juga masih menjadi objek dan simbol seks di mana-mana tempat, malah pada masa sekarang di negara kita sekalipun, sudah ada iklan wanita dengan rexona. Maruah wanita jatuh dengan begitu pantas sekali.

Berapa ramai wanita yang menjual harga diri setelah terpedaya dengan material yang ditawarkan. Al-Attas menjelaskan, dalam diri manusia terdapat dua unsur iaitu unsur jasad yang lebih kepada kebinatangan dan unsur kerohanian.

Ya, seks merupakan cabaran yang paling berbahaya, tidak hanya kepada wanita malah kepada lelaki. Dunia masa sekarang seolah-olah dibentuk dan di’pattern’kan mengikut acuan seks yang diperkenalkan Barat. ‘Abd Allah Nasih ‘Ulwan menjelaskan bahaya daripada perhubungan seks tanpa pernikahan yang halal seperti penyakit Gonorea (Gonorrhoea) yang menyebabkan inflamasi akut dan kronik pada rahim dan testis, Sifilis (Syphilis) yang mendatangkan kesan sampingan pada kulit, sendi, tulang, otot-otot, jantung dan penglihatan, Syankroid (Chancroid) yang menyebabkan ulser pada alat kelamin, Baligh Prekosius (kematangan organ seksual awal) dan juga AIDS yang boleh membawa kematian.

Malah seks memberikan kesan kepada aspek sosial seperti ancaman keruntuhan rumah tangga, kezaliman terhadap anak-anak, penderitaan lelaki dan perempuan, memutuskan hubungan, dampak buruk kepada ekonomi, lemah tenaga, menimbulkan penyakit gila seks, malah bahaya dunia dan akhirat.

Wanita Islam juga berhadapan masalah membina keyakinan kendiri untuk bersaing dengan bangsa yang lebih maju. Mungkin budaya Melayu mengajar untuk lebih bersikap malu dan tidak mahu menonjol. Wanita Islam mesti membina keyakinan diri mereka dengan pro-aktif dan melengkapkan diri mereka dengan kekuatan ilmu dan thaqafah selain membina pengalaman dalam membentuk peribadi yang lebih unggul, sehingga layaknya mereka disegani kawan dan digeruni lawan.

P/S Ana tak dapat memuatkan nota kaki dalam blog ni. Cuma ana boleh meletakkan senarai bahan rujukan ana.

P/S Tulisan ini terbit hasil idea Ustaz Azhar Abdullah yang ana sayangi dan segani. Beliau yang memberikan ruangan idea pada ana untuk menulis dan ana serahkan kepada beliau untuk edit. Terima kasih ustaz..

[1] Syed Ameer Ali (1992), The Spirit Of Islam (terj.), Mohamad Saleeh Rahamad, Sejarah Evolusi Dan Keunggulan Islam, Kuala Lumpur: DBP, h. 306-307.
2 Ibid., h. 10.
3 Baterah Alias & Che Zarina Sa’ari (2006), Islam Dan Emansipasi Wanita, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h. 10.
4 Syed Ameer Ali (1992), op. cit., h. 310.
5 Baterah Alias & Che Zarina Sa’ari (2006), op. cit., h. 9 & 11.
6 Walid Litfullah (1989), Wanita Muslimah Dan Cara Mengatasi Budaya Barat, Kuala Lumpur: Pustaka al-Mizan, h. 22.
7 al-Mubarakfuri (2004), Al-rahiq al-makhtum, (ter.), Muhammad Ramzi Omar, Sirah al-Nabawiyah, Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), ,h. 44-45; Qamihah, Jabir (1996), (terj.) Mudasir Rosder & Mohd Zawawi Abdullah, Nilai-nilai Islam: Satu Pengenalan, Terengganu: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, h. 13.
8 al-Qaradawi, Yusuf (2000), Malamih al-Mujtama’ al-Muslim alladhi Nansyuduhu (terj.), Mohammad Zaini Yahaya, Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar, h. 502-504.
9 Walid Litfullah (1989), op. cit., h. 14-16.
10 Ibid., h. 16-19.
11 Sulaiman Noordin (1997), Sejarah Pemikiran: Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi, Dan Orde Baru Dunia, Selangor: Pusat Pengajian Umum, h. 239.
12 Ibid., h. 19-20.
13 Walid Litfullah (1989), op. cit., h. 22.
14 Walid Litfullah (1989), op. cit.,., h. 21.
15 Walid Litfullah (1989), op. cit., h. 6-7; Sulaiman Noordin (1997), op. cit., h. 68-79.
16 al-Banna, Hassan (2003), Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna (terj.), Salehan Ayub, Himpunan Risalah Imam Hassan al-Banna (edt.), Mohd Najob Sulaiman, Kuala Lumpur: Prospecta Printers Sdn. Bhd., h. 394-395.
17 Al-Quran. Al-Rum (30): 21.
18 Nabi SAW dalam satu hadis riwayat Abu Dhar (r.a) menjelaskan tentang beberapa cara bersedekah bagi orang yang tidak berharta وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. Rujuk Musim, Sahih Muslim, kitab al-zakah, bab Bayan Ism al-Sadaqah Yaqa’u ‘Ala Kulli, no. 2376.
19 Dalam satu hadis yang diriwayatkan Ma’qal bin Yasar, Nabi SAW menyuruh seorang lelaki agar mengahwini pereppuan yang boleh melahirkan anak yang ramai.
« تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ فَإِنِّى مُكَاثِرٌ بِكُمْ »
Rujuk al-Nasa’I, Sunan al-Nasa’I, kitab al-nikah, bab Karahiyah Tazwij al-‘Aqim, no. 3240.
20 Siddiq Fadzil., Abd. Malek Awang Kechil., Malek Shah Mohd Yusoff., (etl.) (2005), Pengurusan Dalam Islam: Menghayati Prinsip Dan Nilai Qurani, Kuala Lumpur: Akademi Pengurusan YPEIM Sdn. Bhd., h. 73-75.
21 Sudah ramai wanita yang menjadi pemimpin dan pentadbir yang tertinggi di Malaysia, malah sudah ada wanita yang menjadi pemimpin tertinggi Negara seperti yang berlaku di Indonesia dan Jerman. Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri dipimpin oleh wanita Islam. Dalam soal ini, bukan soal hukum boleh atau tidak boleh wanita menjadi pemimpin tertinggi, tetapi mesej yang ingin disampaikan ialah wanita mempunyai wibawa dan kemampuan yang lebih daripada yang disangka.
22 Sulaiman Noordin (1997), op. cit., h. 121.
23 Ghazali Darussalam (1998), op. cit., h. 44.
24 Nabi SAW menyatakan kewajipan lelaki untuk berbuat baik kepada isterinya melalui kata-kata baginda,
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ. Rujuk al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, kitab al-manaqib, bab Fadh Azwaj al-Nabi, no.4269.
25 al-Zindani, ‘Abd al-Majid (2003), Hak-hak politik wanita dalam Islam, Jakarta Timur: Al-I’tishom Cahaya Umat,
26 Al-Quran. Al-Takwir (81): 8-9.
27 Al-Quran. Al-Hujurat (49): 13.
28 Nicholson, John (1997), Men And Women: How Different Are They? (terj.), Padilah Ali, Lelaki & Perempuan, Selangor: DBP.
29 Al-Quran. Al-Tawbah (9): 71.
30 Al-Quran. Al-Nisa’ (4): 7.
31 Al-Quran. Al-Nisa’ (4): 20.
32 Al-Quran. Al-Baqarah (2): 233.
33 al-Zindani, ‘Abd al-Majid (2003), op. cit., h. 85.
34 Ibid., h. 86.
35 Amar ma’ruf nahi mungkar merupkan kewajipan semua orang muslim mengikut sesetengah ulama manakala sesetengah ulama yang lain hanya berpandangan ia merupakan fardhu kifayah. ini bermakna, wanita turut memainkan peranan dalam amar ma’ruf nahi mungkar. ‘Abd al-Karim Zaydan menegaskan bahawa ia merupakan kewajipan ke atas semua umat Islam. Rujuk Zaydan, ‘Abd al-Karim (2002), Usul al-Da’wah, (terj.) Solehan Ayub, Islam & Dakwah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 356-357; Al-Qurtubi dan al-Syawkani menyifatkannya sebagai fardhu kifayah. Begitu juga dengan al-Allusi, al-Razi dan al-Syafi’i yang berpandangan ia hanya fardhu kifayah kepada sesetengah orang sahaja dan akan gugur kewajipan tersebut jika sudah terdapat sesetengah daripada mereka melakukannya. Boleh rujuk al-Allusi al-Baghdadi, Mahmud (1994), j.1, Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab’u al-Mathani, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, h. 237-238.
36 Ibid., h. 151.
37 Alan Richardson dalam The Religion In The Contemporary Debate menyebut, “Bahawa dunia yang kita lihat sekarang ini adalah hasil daripada sekularisasi umat Kristian dan peradaban mereka”. Rujuk Ghazali Darussalam (1998), Dakwah Islam Dan Ideologi Barat, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., h. 63.
38 Postmodernisme membawa maksud gaya kehidupan masa kini. Rujuk Ghazali Darussalam (1998), op.cit., h. 1.
39 Pluralisme merupakan satu aliran yang mengangap semua agama adalah betul dan tanggapan ini ternyata salah. Rujuk Riduan Mohd Noor & Ahmad Adnan Fadhil (2006), Siri Serangan Pemikiran: Islam Liberal Dan Pluralisme Agama, Selangor: MHI Publication, H. 60.
40 Sekularisme adalah pemikiran memisahkan antara agama dengan kehidupan dunia. Sekularisme merupakan satu bentuk pemikiran yang asas bagi kehidupan masyarakat di Barat. Rujuk al-Qaradawi, Yusuf (1999), Al-Islam: Hadarah al-Ghad, (terj.), Juanda Jaya, Tamadun Islam: Alternatif Masa Depan. Selangor: Maktabah al-Qardhawi, H. 25; al-Qaradawi, Yusuf (1999), Al-Islam wa al-‘Ilmaniyyah, (terj.), Junda Jaya, Pertentangan Islam Dan Sekular, Selangor: Maktabah al-Qardhawi, H. 58-62; Syed Muhammad Naquib al-Attas (1993), op. cit., h. 15.
41 Golongan Kapitalis selain menganggap bahawa mereka pemilik mutlaq kepada harta benda, mereka juga bebas untuk menyimpan keuntungan yang diperolehi daripada harta tersebut. Mereka juga bebasmelakukan apa sahaja untuk meraih keuntungan yang besar. Rujuk Haron Din., Hassan Salleh., Sulaiman Yassin., Sidi Ghazalba (2003), op. cit., h. 493.
42 Globalisasi biasa diistilahkan dengan dunia tanpa sempadan, pupusnya organisasi negara dan pengembangan manusia dan dunianya. Rujuk Ghazali Darussalam (1998), op. cit., h. 116; Perkataan globalisasi mula dipopularkan pada dekad 1990-an. Rujuk Mohd Azizuddin Mohd Sani (2003), Globalisasi Hak Asasi Manusia: Debat Aliran Universalisme dan Relativisme, dlm. Lukman Z. Mohamad & Azmi Abdul Manaf (eds.), Globalisasi Di Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., h. 43.
43 Sulaiman Noordin (1997), op. cit., h. 239.
44 Fatimah Omar (2001), Wanita Yang Dikasihi, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, h. 1- 147.
45 Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Jum’ah, bab al-jum’ah wa al-qura fi al-mudun, no. 893; Muslim, Sahih Muslim, kitab al-imarah, bab Fadilah al-imam al-‘adil wa ‘uqubah, no. 4828; Hadis ini disebut dalam beberapa tempat lagi dalam Sahih al-Bukhari, manakala hadis yang diriwayatkan oleh Muslim hanya mempunyai pengertian yang sama sedangkan matannya berbeza.
46 Amina Noor (1999), Andalah Wanita Syurga, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, h. 53-56.
47 Amina Noor (1999), op. cit., h. 66-74.
48 Rujuk aisyah
49 al-Mubarakfuri (2004), Al-rahiq al-makhtum, (ter.), Muhammad Ramzi Omar, Sirah al-Nabawiyah, Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), ,h. 506.
50 Jeniri Amir (2007), 7000 Mutiara Kata c.2, Kuala Lumpur: PTS ProffesionalPublishing Sdn. Bhd., h. 323-324.
51 Wawancara bersama Rasyidah Jusoh, Pengerusi Usrah Kebajikan Profesional (UKP), sebuah NGO Islam pada 18 Mei 2008, 11 malam bertempat di Dynasty Hotel, Sentul.
52 Wawancara bersama Syeikh Umar Bagharib Ali, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), sebuah gerakan mahasiswa peringkat nasional, 3.45 petang bertempat di rumah kediaman beliau di Seksyen 19, Petaling Jaya.
53 Siddiq Fadzil., Abd. Malek Awang Kechil., Malek Shah Mohd Yusoff., (etl.) (2005), op. cit., h. 21.
54 Siddiq Fadzil., Abd. Malek Awang Kechil., Malek Shah Mohd Yusoff., (etl.) (2005), op. cit., h. 195.
55 Hashim Musa (2001), “Islam: An Overview In History And Contemporary World”, Jurnal Afkar bil. 2, 2001, Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Kuala Lumpur, h. 18.
56 Kalim Siddiqui (2005), Stages Of Islamic Revolution, Kuala Lumpur: The Other Press, h. 76.
57 Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), Risalah Untuk Kaum Muslimin, Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC), h. 83.
58 Wan Mohd Nor Wan Daud (2005), Falsafah Dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, h. 44.
58 ‘Ulwan, ‘Abd Allah Nasih (2003), Al-Syabab al-Muslim Fi Muwajahah al-tahdiyyat (terj.), Hasnan Kassan, Kuala Lumpur: YADIM, h. 150-151.
59 ‘Ulwan, ‘Abd Allah Nasih (2003), op. cit., h. 153-158.

1 Comment »

  1. maaflah, walaupun kebanyakkan idea yang disampaikan aku sangat2 bersetuju dan penulisan beginilah yang dinanti2kan daripada perbincangan yang tah pape…cuma satu perkara yang perlu diingati, dalam membawa wanita atau seluruh umat manusia ke arah bersama2 mendepani kemajuan sains dan teknologi, alam globalisasi, dan macam2 lagi..jangan lupe, setiap langkah kita perlulah berlandaskan manhaj dan matlamat islam yang jelas..sebagaimana yang diperkatakan oleh sayyed hossein nasr, kemajuan barat yang mengatakan penggunaan kereta adalah lambang kemajuan, tapi dengan melanggar hukum alam merupakan satu yang zalim…barat tidak memikirkan soal hubungan manusia dengan manusia atau alam, hanya memikirkan tentang kemajuan dan kekayaan..pembebasan karbon monoksida, penebangan hutan, global warming dan macam2 lagi…pembangunan yang bersifat menjahanamkan dunia…jadi fikir2kanlah bagaimana islam mewarnai dunia dengan kemesraan alam..

    Comment by Gerak Hikmah — May 30, 2008 @ 9:40 am


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: